9 Mac 2010

PKR guna Yusof Qaradawi 'lariskan' ceramah

UM(Rencana) - 09/03/10
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my
KAEDAH pemasaran terbaik ialah kemampuan memanipulasikan strategi pengiklanan sehingga mampu menggamit minat melampau daripada kumpulan sasar.
Mungkinkah strategi itu yang digunakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meramaikan penonton dalam majlis anjuran mereka?
PKR melalui laman blog rasmi Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu anwaribrahimblog.com, menguar-uarkan bahawa ulama tersohor dunia, Prof. Dr. Yusof Qaradawi akan membuat perisytiharan khas berhubung kes liwat yang sedang dihadapinya di mahkamah.
Majlis itu diadakan malam semalam di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur bersempena ulang tahun kedua kemenangan pakatan pembangkang Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum yang lalu.
Pengumumannya adalah jelas, program itu dimulakan dengan majlis makan malam dan diikuti pengisian ceramah perdana yang disampaikan wakil-wakil pakatan pembangkang seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Anwar sendiri.
Menurut iklan itu, acara kemuncaknya ialah perisytiharan khas oleh Yusof berhubung kes 'fitnah 2' terhadap Ketua Pembangkang itu.
Apabila dijual nama ulama tersohor itu, sudah pasti orang ramai dengan penuh semangat akan hadir untuk mendengar sendiri amanat yang bakal disampaikan oleh tokoh itu.
Bagaimanapun, tunggu punya tunggu, kelibat Yusof tidak kelihatan, apa yang muncul ialah berkotak-kotak cakera padat video (VCD) memaparkan wajah ulama itu dan Anwar, kedua-duanya berwajah ceria.
Tajuknya ialah Fatwa mutakhir Dr. Yusof Al Qaradawi berhubung konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diterbitkan oleh Women's Institute of Research Development and Advancement (WIRDA).
Nampaknya, kehadiran kira-kira 500 orang ramai ke majlis itu membuktikan bahawa usaha PKR memanipulasi kaedah pemasaran itu boleh dianggap berjaya walaupun mungkin jumlah sebenar penonton impiannya agak tersasar.
Tindakan terbaru Anwar tersebut jelas mengesahkan pandangan pemerhati politik bahawa penasihat parti yang hilang majoriti di Parlimen itu semakin terdesak, sehingga sekali lagi tampil membawa pihak luar bagi menyokong kes mahkamahnya.
Malam tadi, Anwar dengan penuh bersemangat, mendakwa, Yusof telah meminta beliau menyampaikan amanat fatwa itu kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sambil mendakwa beliau tidak mempunyai apa-apa agenda dengan VCD tersebut melainkan untuk menyebarkan amanat ulama tersohor itu, Anwar kemudiannya dengan penuh penghayatan menceritakan perbualan beliau dengan Yusof.
"Anwar kena ingat ini ialah mengenai isu hukum akhlak yang amat penting, ini merupakan fitnah kedua, ini bukan soal parti tetapi soal akidah. Kamu (Anwar) bertanggungjawab untuk menyebarkannya.
"Perbanyakkan dan edar, siapa yang terlibat termasuk Najib (Perdana Menteri), secara langsung atau tidak adalah hukumnya munafik.
"Siapa yang bertanggungjawab menyebarkannya pula jatuh hukumnya fasik, iaitu tidak boleh dipakai kesaksian mereka sampai bila-bila," katanya dalam ceramah perdana itu.
Cakera padat video dalam bahasa Arab itu disertakan dengan terjemahan dan ia diedarkan secara percuma kepada semua yang hadir pada program berkenaan.
Tambah Anwar, Yusof juga mengingatkan beliau supaya fatwa itu disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ramai di kalangan mereka masih tidak sedar dan memahaminya.
"Saya tiada kepentingan dalam penyebaran VCD ini, saya sedikit pun tidak tergugat langsung dengan kes ini, kerana saya tahu tidak bersalah," katanya.
Terdahulu semasa Azmin menyampaikan ucapan, berlaku kekecohan kecil apabila ceramah yang mulanya diadakan di pekarangan Kelab Sultan Sulaiman itu diarah supaya diadakan di dalam dewan memandangkan pihak penganjur tidak mendapat permit.
Kehadiran Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah menghangatkan lagi suasana walaupun sebelum itu keadaan sedikit sejuk apabila hujan renyai-renyai turun sebelum majlis itu berlangsung.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: