3 Mac 2010

Syed Husin ada dendam peribadi - Salehuddin

UM - 03/03/10
KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim menempelak Dr. Syed Husin Ali kerana mahu meneruskan dendam peribadi yang bersifat kebudak-budakan terhadapnya.
Beliau menegaskan, perkara itu amat melucukan kerana sebagai seorang yang bergelar Timbalan Presiden, Syed Husin sepatutnya membantu parti sewaktu pemimpinnya terbelenggu dengan masalah peribadi.
Katanya, sikap itu dengan sendirinya mencerminkan kecetekan pemikiran politik yang melanda pemimpin PKR.
"Saya harap Syed Husin yang tinggi kaliber, sekurang-kurangnya menaikkan standard beliau daripada standard kebudak-budakan demi rakyat yang dahaga perubahan.
"Tetapi saya faham, buluh tua tidak boleh dilentur lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan keras itu reaksi balas kepada kenyataan akhbar Syed Husin bertajuk Apa Hal Salehuddin Hashim? yang antara lain memaklumkan bahawa bekas Setiausaha Agung PKR itu menerima gaji RM9,000 sebulan walaupun ramai yang menganggap khidmatnya adalah percuma.
Selain itu, Syed Husin mendakwa kemarahan Salehuddin memuncak apabila 'permohonannya' untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) Selangor iaitu Kumpulan Perangsang dengan gaji lebih RM50,000 sebulan ditolak sebelum beliau meletakkan jawatan.
Mengenai gaji RM9,000 sebulan sebagai Setiausaha Agung PKR, Salehuddin menjelaskan ia adalah kecil berbanding masa yang dicurahkan dan gaji terakhirnya sebelum bersara.
Jelas beliau, jumlah itu juga adalah lebih rendah daripada bayaran yang dibuat PKR kepada pelbagai individu di dalam dan luar parti untuk 'menggembira dan mendiamkan' mereka tanpa perlu berbuat apa-apa.
Tambahan pula, katanya, sebelum itu beliau telah empat tahun berkhidmat sebagai Setiausaha Pengelola dan Ketua Staf kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sepenuh masa selama empat tahun tanpa bayaran.
Berhubung isu jawatan dalam Kumpulan Perangsang, Salehuddin mengakui kecewa dengan insiden itu namun tidak mahu mengulas lanjut kerana ia akan memalukan Anwar.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa Anwar sendiri tidak tahu-menahu tentang kenyataan akhbar yang dibuat oleh Syed Husin.
Sehubungan itu Salehuddin mengingatkan Syed Husin supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan yang melalut kerana beliau mempunyai rekod penghantaran e-mel sulit kepada Anwar berhubung isu jawatan tersebut.
"Anwar sendiri mengarahkan saya untuk mengambil tugas dan tanggungjawab tersebut bagi memenuhi aspirasi parti walaupun saya agak keberatan.
"Saya menjawab saya hanya akan mengambil tugas tersebut jika saya dibayar RM1 sebulan," tegasnya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: