9 Mac 2010

UMNO Kulim-Bandar Baharu 'hulur tangan' kepada Zulkifli

ARKIB : UM - 08/03/2010
ALOR SETAR 7 Mac - Pemecatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membuktikan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengamalkan demokrasi sebenar sebagaimana dilaungkan oleh pemimpin parti berkenaan.
Ketua UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, sebaliknya ia melambangkan sikap sebenar pemimpin PKR yang tidak boleh menerima kritikan walaupun ia untuk kebaikan parti itu dan negara.
"Pemimpin PKR hanya mengamalkan demokrasi terpilih, mereka hanya menjaja istilah demokrasi apabila perkara berkenaan menguntungkan pemimpin mereka tetapi sekiranya sesuatu perkara itu tidak memberi faedah kepada perjuangan mereka, ia ditolak begitu sahaja," katanya.
Aziz mengulas mengenai pemecatan Zulkifli daripada PKR oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan semalam dan majlis tersebut turut mendesak agar Ahli Parlimen itu mengosongkan kerusi Parlimennya.
Kelmarin, Zulkifli bertindak tegas meninggalkan sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR berhubung isu kalimah Allah kerana tidak berpuas hati dengan komposisi ahli panelnya yang turut dibarisi aktivis Kristian.
Abdul Aziz menjelaskan, orang ramai kini sudah boleh menilai perjuangan sebenar PKR dengan senario terbaru yang berlaku di dalam parti berkenaan.
Katanya, UMNO Kulim-Bandar Baharu lebih bersikap terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan Zulkifli yang merupakan Ahli Parlimen Bebas dalam usaha membangunkan kawasan berkenaan.
"Demi kepentingan rakyat, kita akan menghulurkan tangan menjalinkan kerjasama, kita boleh berunding bentuk bantuan yang beliau perlukan dalam perjuangannya," katanya.
Abdul Aziz merupakan calon Barisan Nasional (BN) yang ditewaskan oleh Zulkifli bagi kerusi Kulim-Bandar Baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: