UM - 03/04/10
BESUT 2 April - Sudah tiba masa bagi Hospital Besut di sini dinaik taraf menjadi hospital pakar bagi menampung keperluan kesihatan masyarakat ekoran kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kesihatan mengenai perkara itu.
Katanya, cadangan pembukaan sebuah kolej perubatan di Taman Ilmu nanti juga membolehkan Hospital Besut yang sudah mempunyai dewan pembedahan menjadi tempat sesuai bagi doktor pelatih menjalankan tugasan mereka.
"Jika segalanya berjalan lancar, Hospital Besut akan menjadi hospital ketiga yang dinaik taraf sebagai hospital pakar selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dan Hospital Kemaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program Jururawat Bersama Masyarakat peringkat daerah Besut dan Hari Terbuka Hospital Besut di Jerteh dekat sini semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohamad Omar dan Pengarah Hospital Besut, Dr. Haniah Yusof.
Beliau memberitahu, pesakit kronik yang memerlukan pembedahan kecemasan tidak perlu lagi dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM20 juta untuk meningkatkan taraf kesihatan dan kebajikan rakyat negeri ini.
Katanya, ia termasuk mewujudkan Tabung Penyakit Kronik membabitkan peruntukan RM10 juta bagi menyediakan bantuan rawatan dan pembelian peralatan kepada rakyat yang disahkan menghidap penyakit kronik antaranya seperti jantung, kanser dan buah pinggang.
"Sejumlah RM10 juta lagi diperuntukkan di bawah Tabung Insurans Perubatan dan kematian yang menyediakan bantuan kemudahan rawatan serta khairat kematian kepada rakyat.
"Tabung ini diseragamkan antara portfolio Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan bagi membolehkan rakyat menerima manfaat daripada perkhidmatan kesihatan dan perlindungan insurans serta khairat kematian," katanya.
/hwa-utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan