5 April 2010

Nik Aziz nafi 'janji derma' lulus balak

UM - 05/04/10

KOTA BHARU 4 April - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan bahawa syarikat-syarikat tertentu kerap mendapat kelulusan permohonan balak ekoran "janji derma" kepada badan-badan yang mempunyai kaitan dengan parti dan pemimpin.

Beliau menegaskan, tidak akan menyokong sebarang amalan seperti itu sekiranya tahu apa yang berlaku di sebalik permohonan-permohonan yang dikemukakan.

"Tidak ada. Saya tak sokong kalau ada benda begitu dan benda ini tidak ada dalam pengetahuan saya," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang turut disertakan dengan dokumen-dokumen di dalam blog.

Beliau menyifatkan tulisan oleh blogger berhubung soal itu yang tersebar luas kini hanya dibuat sesuka hati dan tidak membawa kebaikan.

"Penulis blog ini tulis sesuka hati dia. Bukan beri ilmu kepada pembaca. Saya sangat dukacita, guna facebook, blog untuk sebar fahaman dia sendiri, tidak tambah ilmu kepada pembaca, ini saya dukacita," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas upacara pelepasan konvoi motosikal berkuasa besar sempena program Kelantan Bike Week di Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini hari ini.

Sebuah blog mendedahkan amalan yang didakwa berlaku sekian lama melalui permohonan atas nama pelbagai syarikat kerap mendapat kelulusan pembalakan dan tanah hutan simpan untuk perladangan.

Modus operandinya dikatakan dengan mendapatkan penaung yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu pemohon mendapatkan kelulusan dan sebagai imbuhan, pemohon akan memberi sejumlah wang kepada penaung.

Blogger itu yang sebelum ini dikatakan rapat dengan pimpinan negeri mendakwa beratus-ratus pucuk surat dengan format yang sama dikeluarkan oleh pelbagai pihak yang menjadi pemohon tanah balak kepada pihak berkuasa atau pimpinan negeri.

Sehubungan itu, dia menggesa Nik Abdul Aziz supaya bersikap telus dan mengeluarkan senarai penuh syarikat yang menerima projek kerajaan negeri dari 1990 hingga sekarang untuk penilaian rakyat.

Kerajaan negeri juga disaran mengubah status dokumen-dokumen dalam mesyuarat Exco yang berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi supaya rakyat dapat memahami keluasan projek dan untuk tujuan apa individu-individu tertentu diberikan projek.

/hwa-utusan.com.my

Tiada ulasan: