MM - 18/04/2010
MUHYIDDIN Yassin bersama pemimpin parti komponen menjulang tangan semasa mengiringi calon Barisan Nasional, P. Kamalanathan (lima dari kanan) di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu, semalam.HULU SELANGOR 17 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) tidak akan membangkitkan isu peribadi calon lawan namun perkara itu tetap menjadi kriteria utama yang akan dinilai pengundi dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam pemilihan apa sekali pun pelbagai perkara diambil kira sebagai strategi termasuk soal peribadi seseorang calon.
“Kita tidak boleh mengetepikan isu tersebut begitu sahaja kerana walaupun kita tidak membangkitkannya, pengundi tetap mahu menilai latar belakang akhlak, moral dan integriti seseorang calon. Mereka hendak tahu siapa P. Kamalanathan (calon BN) dan siapa itu Datuk Zaid Ibrahim (calon Parti Keadilan Rakyat),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengiringi Kamalanathan ke pusat penamaan calon pilihan raya itu di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru di sini hari ini.
Muhyiddin ditanya apakah BN akan membangkitkan isu peribadi Zaid sepanjang kempen yang bermula hari ini bagi meraih undi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak perlu membangkitkan isu peribadi kerana kalau pun ia tidak dilakukan namun perkara tersebut tetap akan menjadi penilaian utama pengundi di kawasan Parlimen berkenaan.
“Orang sudah tahu sejarah Zaid dalam Kabinet, apabila beliau meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan berhubung beberapa perkara. Selain itu beliau pernah ‘bergaduh’ dengan Pas apabila mengambil tindakan undang-undang berhubung hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh parti tersebut.
“Saya tidak mahu cerita lebih kerana Zaid juga kawan saya, biarlah pengundi buat penentuan, apa pun kita tidak boleh mengetepikan soal peribadi dan perwatakan calon kerana pengundi mahu orang yang betul-betul bersih dan bersedia bekerja keras untuk rakyat, sebab itu kita pilih Kamalanathan,” katanya.
Muhyiddin berkata, melalui kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan gagasan 1Malaysia serta usaha usaha membela rakyat yang menjadi pendekatan BN selama ini, parti itu mahu pengundi memahami bahawa kepimpinan parti akan memberikan apa sahaja sokongan supaya kawasan Hulu Selangor akan terus mencapai kemajuan sama ada dalam ekonomi, pembangunan sosial mahupun kebajikan.
“Kita yakin melalui kempen yang dilaksanakan, rakyat akan menyokong BN.
“Kita akan ambil peluang untuk memberikan penjelasan kepada mereka dalam apa juga isu yang dibangkitkan oleh pembangkang kerana kita sudah ada jawapan, kita tidak akan lari tetapi akan berhadapan dengan rakyat bagi membuat penerangan,” katanya.
/hwa-utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan