3 April 2010

Tempoh pembangkang kuasai Hulu Selangor sudah tamat: PM

BERNAMA - 2010/04/03

KUALA KUBU BARU: Sambil menyifatkan kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Parlimen Hulu Selangor sebagai pinjaman, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berkata tempoh itu sudah tamat.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ini kerana kawasan itu adalah kawasan tradisi BN dan sudah tiba masanya ia dikembalikan semula kepada BN.

"Tempoh pinjaman sudah tamat...cukuplah kawasan ini di bawah pembangkang," katanya ketika berucap kepada jentera BN bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor di perkarangan Bangunan Umno Hulu Selangor di sini petang ini.

Dalam ucapannya selama 15 minit bermula 3 petang itu, Najib yang menyambut ulang tahun pertama sebagai Perdana Menteri hari ini berkata, kemenangan BN perlu sebagai tanda pulihnya keyakinan rakyat.

Beliau berkata, ia juga bagi mnembuktikan sentimen bahawa sokongan kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 hanyalah sementara.

Katanya, kemenangan itu juga boleh menyumbang kepada sasaran majoriti dua pertiga kerusi Parlimen BN sebagai parti pemerintah.

Najib juga berseloroh bahawa kemenangan itu penting untuk beliau berhadapan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, yang akan ditemuinya dalam lawatan beliau ke negara itu tidak lama lagi.

"Saya nak jumpa Obama dengan kekuatan politik...saya nak kata: 'Mr President, Hulu Selangor is BN's constituent'...walaupun Obama mungkin tak tahu Hulu Selangor itu di mana," katanya sambil disambut dengan ketawa hadirin.

Najib juga mengiktiraf jentera pergerakan Wanita Umno yang disifatkan sebagai tulang belakang BN bagi memastikan kemenangan di Hulu Selangor.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: