11 April 2010

Tiada kompromi - Mohd. Shukri

MM - 11/04/10

Oleh KAMARUDIN HAMZAH
utusanterengganu@utusan.com.my
Idris Jusoh bersalaman dengan anggota polis pada Karnival Polis Diraja Malaysia Bersama Masyarakat di Besut, semalam. - mingguan/Kamarudin Hamzah
*****
BESUT 10 April - Polis Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai di negeri ini yang terbukti terlibat dalam masalah disiplin termasuk kes rasuah dan dadah.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, mana-mana anggota dan pegawai yang gagal menjaga imej polis akan berhadapan dengan tindakan tegas.
Katanya, tindakan itu bagi memastikan imej polis sentiasa terpelihara dan tidak dicemari dengan perbuatan negatif oleh segelintir anggotanya.
"Saya memandang serius dakwaan yang menyatakan terdapat segelintir anggota polis di negeri ini terbabit dengan kesalahan tatatertib termasuk penyalahgunaan kuasa," katanya.
Mohd. Shukri ditemui pada majlis Karnival Polis Diraja Malaysia bersama masyarakat Besut yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan beberapa akhbar tempatan hari ini yang melaporkan pembabitan beberapa anggota kes peras ugut dan pembabitan dengan dadah.
Ditanya mengenai laporan itu, beliau memberi jaminan akan menyiasatnya dengan adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Mengenai kes dadah membabitkan anggota polis negeri ini, beliau berkata, setakat ini, siasatan sedang dilakukan terhadap tujuh orang anggota iaitu tiga dari Pasukan Gerakan Marin, dan dua anggota masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Balai Polis Gong Badak. "Sampel air kencing kesemua anggota terbabit masih di peringkat saringan. Sekiranya mereka didapati positif, tindakan sewajarnya akan diambil," tegasnya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, Polis Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM1 juta untuk projek membaik pulih bangunan lama melibatkan balai-balai dan IPD di negeri ini.
/hwa-utusan.com.my

Tiada ulasan: