15 April 2010

Zaid Ibrahim tanding Hulu Selangor

UM - 14/04/2010
HULU SELANGOR 13 April – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang pernah memperlekehkan konsep ketuanan Melayu diumumkan sebagai calon untuk menggalas cabaran parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.
Pencalonan Zaid yang dipecat daripada UMNO pada Disember 2008 diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis ceramah di Pusat Komuniti Serendah di sini malam ini.
Pengumuman itu sekali gus menutup peluang Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin dan Bendahari PKR Cabang Hulu Selangor, Dr. Halili Rahmat yang turut disebut-sebut mempunyai potensi sebagai calon.
Anwar sewaktu berucap berkata, Zaid dipilih kerana PKR mahu meletakkan calon yang sudah teruji dalam politik.
Katanya, Zaid mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri demi mempertahankan hak rakyat.
“Lepas jadi ahli parti, dia menjelajah ke seluruh negara dan dia ada beritahu saya jika dipilih sebagai calon, dia akan bekerja dan jika tidak dipilih, dia pun akan bekerja seperti biasa.
“Dia pun bukannya orang luar kerana telah bermastautin selama 30 tahun di Selangor,” katanya.
Sementara itu, Zaid dalam reaksi segera dalam majlis itu berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana memberi kepercayaan kepadanya walau pun baru menjadi ahli PKR.
Beliau melahirkan keyakinan kerana mampu menjadi suara rakyat Hulu Selangor dan Selangor.
“Saya terima dengan penuh keinsafan bahawa beban yang dipikul Anwar dan rakan-rakan amat berat.
Zaid dikenali ramai sebagai pemimpin kontroversi kerana pernah mempersoalkan status orang Melayu sewaktu berucap dalam Persidangan LawAsia 2008 apabila menyifatkan konsep ketuanan Melayu menyebabkan berlakunya pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar di negara ini.
Berikutan itu, Zaid dihujani kritikan termasuklah kenyataan keras bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendesaknya keluar daripada rumpun bangsa Melayu.
Sementara itu, sumber dalaman Pas memberitahu Utusan Malaysia bahawa pemilihan Zaid menimbulkan dilema kepada jentera pilihan raya Pas kerana beliau pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 beberapa tahun lalu dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Zaid menarik balik saman tersebut selepas itu. Sumber itu berkata, Pas juga tidak dibawa berunding oleh PKR dalam soal pemilihan calon, sebaliknya membuat keputusan secara bersendirian.
“Sebenarnya kami berdepan dilema, lebih-lebih lagi Zaid adalah orang yang menyaman kerajaan Pas Kelantan dalam isu hudud, tapi apa boleh buat, PKR tidak berunding dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang,” katanya.
Tindakan Zaid pada masa itu dikecam oleh kepimpinan kerajaan Pas Kelantan termasuklah Exco kanan, Datuk Husam Musa yang menyifatkan sebelum ini tidak pernah ada orang Islam yang sanggup mencabar hukum Allah di mahkamah.
/hwa-utusan.com.my

Tiada ulasan: