12 Mei 2010

Jangan abai rakyat

BH - 2010/05/12
Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Shaarani Ismail, S Anand Kumar dan Haspaizi Mohd Zain

Najib mahu pemimpin Umno ambil iktibar kejatuhan parti LDP di Jepun.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan ahli Umno supaya kembali menghayati semangat jati diri parti yang berjuang untuk rakyat dan bukannya mengamalkan politik sempit yang menguntungkan kelompok tertentu.
Presiden Umno berkata, Umno yang menyambut ulang tahun ke-64 semalam, akan terus bangkit dan kukuh selagi parti itu memperjuangkan hak rakyat dan tidak lari daripada landasan sebenar.
Katanya, parti keramat orang Melayu itu harus mengambil iktibar terhadap senario politik dunia yang menyaksikan banyak parti pemerintah di beberapa negara tewas dalam pilihan raya kerana tidak lagi memperjuangkan nasib rakyat.
"Kisah yang relevan dan menjadi iktibar pada kita ialah kekalahan parti LDP di Jepun. Baru-baru ini, kita menjemput pemimpin parti itu ke sini bagi mengetahui punca kekalahan mereka. "Pemimpin LDP itu menyatakan kekalahan LDP kerana parti itu mengamalkan corak politik kelompok dan berpuak-puak daripada memberi perkhidmatan untuk rakyat.
“Parti itu juga tidak mempunyai iltizam politik untuk meneruskan reformasi dan perubahan, sebaliknya kembali kepada zon selesa dengan mempertahankan status quo parti hingga rakyat melihat LDP sebagai parti yang jauh dari hati mereka dan tidak merasai denyut nadi rakyat, selain bukan parti yang segar dan dinamik," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Ulang Tahun ke-64 Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam tadi. Hadir sama, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi serta bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Najib berkata, fakta kekalahan LDP sedikit sebanyak relevan pada Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN).Oleh itu, katanya, dalam memperjuangkan perubahan dan menjadikan Umno parti yang terus mendapat sokongan orang Melayu, Umno perlu mengelak menjadi parti yang terperangkap dengan agenda sempit yang memperjuangkan kelompok tertentu.
"Sebaliknya, Umno kena berpaksi pada rakyat jelata yang menjadi kunci kejayaan. Kita kena sentiasa menjadi pemimpin yang dekat di hati rakyat dengan melaksanakan program sepanjang masa dan zaman dan bukan hanya pada pilihan raya.
"Pemimpin Umno perlu menunjukkan yang mereka adalah pemimpin yang berjuang sepanjang masa," katanya.
Najib juga bersyukur kerana dalam dua pilihan raya kecil sebelum ini, iaitu di Bagan Pinang dan Hulu Selangor, orang Melayu sudah kembali menyokong Umno.
"Mungkin tidak semua... memang mustahil kita dapat semua, masih ada sokongan pada parti pembangkang tetapi tahap sokongan daripada orang Melayu untuk Umno jelas lebih menyerlah hari ini.
"Oleh itu kita berasa bersyukur kerana usaha kita lakukan untuk memperkasakan dan segala yang dilaksanakan membuahkan hasil yang lebih meyakinkan," katanya.
Sementara itu, Najib berkata, beliau terharu apabila seorang veteran Umno sanggup menaiki bas selama enam jam semata-mata untuk hadir ke sambutan ulang tahun Umno, malam tadi.
"Beliau datang pagi tadi dan balik malam ini juga dengan bas. Beliau memberitahu saya yang beliau datang ke majlis ini kerana sayangnya pada Umno," katanya.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: