5 Mei 2010

SPRM minta Syed Azidi henti dedah maklumat

UM - 05/05/2010
KUALA LUMPUR 4 Mei - Penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz diminta menghentikan pendedahan beliau kepada umum dan media mengenai peruntukan RM4 juta yang didakwa diterimanya untuk memburukkan imej pucuk pimpinan Kerajaan Pusat.
Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mustafar Ali berkata, tindakan mendedahkan secara keterlaluan termasuk dalam tulisan yang dimuatkan dalam mana-mana laman blog, boleh menganggu siasatan pihaknya.
"Kita perlu memberikan perlindungan kepada mereka yang memberikan maklumat dan orang yang disiasat.
"Jadi, sesuatu aduan kes rasuah tidak boleh didedahkan oleh mana-mana pihak selain kepada pegawai SPRM sehingga tindakan mahkamah diambil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Syed Azidi atau lebih dikenali sebagai Kickdefella sebelum ini mendedahkan nama pemberi peruntukan RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Susulan pendedahan itu, beliau dipanggil memberi keterangan sebanyak dua kali di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan yang terbaru, semalam.
Mustafar berkata, peringatan itu dibuat kerana SPRM mementingkan soal keadilan dan elemen kerahsiaan melibatkan orang yang hendak disiasat.
Jelas beliau, pendedahan terhadap sesuatu kes yang dilaporkan kepada SPRM boleh mengganggu proses siasatan.
"Dalam siasatan sesuatu kes, kita terpaksa menggunakan elemen kejutan. Tapi apabila sesuatu itu tidak lagi mengejutkan atau didedahkan terlebih dulu, banyak bahan bukti yang diperlukan dalam siasatan akan hilang," katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed sebelum ini pernah melahirkan kebimbangan dengan trend semakin ramai pihak yang membuat laporan kes rasuah mendedahkan maklumat mengenainya kepada umum.
Tindakan itu sebenarnya menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 29 (4), Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Menurut Abu Kassim, mereka yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen tersebut boleh dipenjara selama dua tahun atau denda sebanyak RM100,000.
/hwa-utusan.com.my

Tiada ulasan: