2 Jun 2010

Wisma Putra diarah usaha bawa pulang sukarelawan

BH - 2010/06/02
Oleh Zainab Mohd Yatim, Nazura Ngah dan Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my


Malaysia usul PBB ambil tindakan terhadap rejim Zionis


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Kementerian Luar sudah diarah melakukan sebarang usaha untuk membawa pulang sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza (LLAG) yang kini ditahan di Israel.

Perdana Menteri berkata, berikutan sukar mendapatkan maklumat dan tiada komunikasi dengan pihak negara berkenaan, Malaysia cuba memperoleh maklumat terkini daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara ketiga.

“Saya sudah minta Wisma Putra mengusahakan untuk menyelamatkan sukarelawan kita... kita amat sukar mendapatkan maklumat dan tidak ada komunikasi dengan pihak berkenaan. Jadi kita akan cuba melalui PBB dan negara ketiga untuk dapat maklumat,” katanya semalam.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga akan mengusulkan supaya tindakan pencabulan dan keganasan yang dilakukan Israel dibawa ke sidang Majlis Keselamatan PBB bagi melihat bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap rejim Zionis itu kerana mencabuli hak asasi dan undang-undang antarabangsa.

Katanya, selain saluran Wisma Putra, Malaysia mempunyai wakil di PBB serta rakan negara luar dan hubungan dengan badan perisik bagi mendapatkan maklumat terkini.

Ditanya sama ada wajar Malaysia memboikot produk Israel dan Amerika Syarikat, Najib berkata, tindakan itu tidak akan memberi kesan kerana tidak ada tindak balas daripada negara berkenaan, tetapi Malaysia akan memikirkan apa yang wajar dilakukan menerusi sidang Majlis Keselamatan PBB.

“Kita tak ada produk Israel di sini, jadi kita tidak ada hubungan langsung dengan Israel, oleh itu tidak ada apa-apa kesan,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi nasihat kepada keluarga sukarelawan supaya tabah berdepan ujian itu dan kerajaan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat seberapa segera yang boleh,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz, berkata pihaknya akan berurusan dengan Wisma Putra dan LL4G untuk memantau perkembangan insiden itu dari semasa ke semasa untuk membawa pulang wartawan kanannya, Ashwad Ismail dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip yang dilaporkan ditahan di sana.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: