MM - 04/07/10
KOTA TINGGI 3 Julai - Ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian digesa mempergiatkan lagi usaha untuk mendaftarkan para pengundi baru terutamanya di kalangan masyarakat Melayu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sehingga kini, masih terdapat seramai 1.9 juta orang Melayu daripada 4.3 juta rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan sebilangan daripada mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi itu terdiri daripada ahli UMNO.
"Usaha untuk mendaftarkan golongan ini sebagai pengundi perlu dipertingkatkan di setiap bahagian termasuk mengadakan kerjasama dengan pertubuhan kerajaan dan menggunakan kaedah baru seperti pendaftaran secara online," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara, di Felda Bukit Besar, dekat sini hari ini.
Mohd. Shafie berkata, antara faktor utama menyebabkan golongan berkenaan tidak mendaftar sebagai pengundi kerana beranggapan ia bukan suatu keperluan yang mendesak dan tidak begitu penting.
Beliau berkata, selain itu ada juga di antara mereka yang mengalami kesukaran untuk mendaftar ekoran tempat tinggal yang jauh, selain ingin melakukannya pada saat-saat akhir.
"Dalam hal ini kita perlu menggerakkan usaha di setiap bahagian di seluruh negara untuk mendaftarkan golongan ini sebagai pengundi. Kita perlu mendampingi mereka.
"Kita juga akan bertemu parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain dan mahu mereka turut menggiatkan usaha kerana ada di antara mereka tidak begitu agresif seperti parti pembangkang," katanya.
/hwa: www.utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan