25 Julai 2010

Muhyiddin sifatkan pembangkang seperti burung kakaktua

MM - 25/07/10

KUALA LUMPUR 24 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perlakuan pembangkang yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak tahu mentadbir apabila berkuasa sebagai tidak ubah seperti burung kakaktua yang pandai menyanyi tetapi tidak memahami maksud yang diucapkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini seperti mana dalam isu pasir apabila kerajaan negeri Selangor ternyata tidak dapat menyelesaikannya sedangkan mereka ini pada masa sama hebat mengkritik kerajaan Pusat dalam isu yang lain.

"Kalau isu pasir dan air pun tidak dapat diselesaikan, sedang sebelum ini begitu hebat berkokok mengkritik dan memfitnah kerajaan. Mereka ini (pembangkang) samalah seperti burung kakaktua.

"Sesebuah kerajaan sepatutnya berusaha menyelesaikan masalah rakyat tetapi di Selangor dan Pulau Pinang sebaliknya yang berlaku.

"Pembangkang semakin menambah masalah kepada rakyat dengan membenarkan kegiatan curi pasir berleluasa, merobohkan rumah penduduk selain gagal menyelesaikan isu air," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Juara Rakyat Barisan Nasional (BN) peringkat Parlimen Wangsa Maju, di Pasar Besar Gombak, di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, hanya kerajaan BN sahaja yang mampu mentadbir dan menyelesaikan segala masalah rakyat kerana parti itu bukan sahaja mempunyai pengalaman tetapi pada masa yang sama merupakan sebuah parti yang mendengar denyut nadi rakyat.

"Pembangkang cuba menafikan hakikat yang diakui oleh seluruh dunia tetapi pakatan tersebut lupa, nikmat yang mereka perolehi sekarang ini pun adalah atas jasa kematangan pemimpin BN menguruskan negara ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri sehubungan itu menyeru kepada seluruh rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan janji dan pembohongan pembangkang kerana senario politik dan ekonomi yang berlaku di negeri pimpinan pakatan pembangkang sudah membuktikan segalanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Muhyiddin turut meluluskan peruntukan RM5 juta bagi menceriakan semula 10 unit rumah pangsa di Taman Melati, Gombak, yang sudah usang.

Katanya, peruntukan itu bagi membolehkan atap rumah yang bocor diganti serta bangunan rumah yang usang dicat semula.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: