UM - 13/07/10
KUALA KRAU 12 Julai - Masyarakat peneroka di sini menyokong tindakan kerajaan menyaman akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan yang dianggap mereka sebagai 'Si Kitul' moden yang gemar menabur fitnah bagi tujuan memecahbelahkan warga tanah rancangan itu.
Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Gabungan Felda Wilayah Jengka, Azizah Ahmad menegaskan, artikel 'Felda Bangkrap' yang disiarkan akhbar itu jelas berbau fitnah dan berniat jahat untuk meruntuhkan institusi yang selama ini menjadi payung kepada lebih sejuta peneroka seluruh negara.
''GPW Jengka tetap bersama Felda yang terbukti berjaya memajukan masyarakat peneroka menjalani kehidupan yang lebih baik.
''Jika PKR sebuah parti mementingkan kebajikan rakyat, sepatutnya kedudukan warga Felda tidak harus dijadikan pertaruhan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa kerajaan akan terus menyaman akhbar tersebut sebanyak RM200 juta berikutan artikel 'Felda Bangkrap'.
Akhbar Suara Keadilan pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu menyiarkan berita utama di muka depan bertajuk 'Felda Bangkrap' dan empat lagi artikel dalam keluaran sama yang mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.
Dalam pada itu, Naib Presiden 1 Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Ahmad Saari Ab. Samad mengingatkan warga Felda tidak terpengaruh dengan dakyah dan mainan politik pembangkang supaya tidak menyesal pada masa akan datang.
''Lihat sahaja nasib orang Melayu Pulau Pinang dan pelbagai masalah di Selangor membuktikan sebarang kesilapan akan mengundang pelbagai risiko terhadap nasib dan maruah bangsa,'' katanya.
Nada yang sama turut diungkapkan Naib Presiden 3 MBFM, Norzalila Ahmad yang berkata, warga Felda sebenarnya bosan dengan kerenah pembangkang yang sering mengganggu kemakmuran masyarakat Felda.
''Tindakan mereka itu menyebabkan segelintir warga Felda yang lupa diri bertindak menyokong pembangkang," tegasnya.
Katanya, pembangkang tidak harus mengganggu kemajuan yang dinikmati masyarakat Felda.
''Kemajuan yang dinikmati warga peneroka bukan datang bergolek tetapi dirancang dengan bijaksana oleh pemimpin terdahulu terutama Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein," katanya.
Bekas Timbalan Pengerusi Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Wilayah Jengka, Abdul Hamid Shafie pula berkata, PKR sebagai parti 'Si Kitul', suka menabur fitnah dan membesar-besarkan isu remeh demi mendapatkan keuntungan politik jangka pendek.
PKR tegasnya, cuba menafikan peranan Felda yang membuktikan kewibawaannya menjana ekonomi peneroka.
''PKR harus menerima kenyataan bahawa Felda berjaya membawa warganya keluar daripada kepompong kemiskinan,'' katanya.
Abdul Hamid turut menyelar PKR yang menidakkan kedudukan kewangan Felda yang sangat kukuh melalui aset semasa dan tetap serta perolehan pendapatan tahunan berbilion ringgit.
Setiausaha JKKR Felda Jengka 7, Ahmad Zubir Rahim pula menyokong ketegasan Perdana Menteri untuk menyaman Suara Keadilan demi menjaga maruah dan integriti Felda yang sangat berjasa kepada orang Melayu, agama Islam dan negara.
Katanya, Suara Keadilan perlu diajar supaya lebih berhemah dan berwaspada menyiarkan sebarang artikel yang menyentuh kredibiliti Felda atau kerajaan pada masa akan datang.
''Saya menyokong penuh permit akhbar tabloid PKR itu tidak disambung semula kerana sebenarnya dijual secara terbuka kepada bukan ahli PKR walaupun ia tidak dibenarkan berbuat demikian," katanya.
/hwa: utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan