28 Julai 2010

Puteri UMNO bidas cadangan Tony Pua mansuhkan hartanah bumiputera

UM - 28/07/2010

KUALA LUMPUR 27 Julai - Puteri UMNO membidas cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua supaya Kerajaan Negeri Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di negeri itu.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, cadangan itu suatu cubaan untuk menghapuskan hak istimewa Melayu di Selangor.

"Cadangan pemansuhan dasar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor sama sekali tidak boleh diterima.

"Penguasaan ekonomi antara bumiputera khususnya orang Melayu dengan kaum lain masih tidak seimbang, cadangan itu jelas menunjukkan satu cubaan menyamaratakan pemilikan hartanah di kalangan penduduk Selangor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Tony agar kerajaan negeri memansuhkan dasar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.

Kata Ahli Parlimen DAP itu, langkah tersebut mampu memberi kesan ekonomi yang lebih baik kepada kerajaan Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Mengulas lanjut, tegas Rosnah, jika cadangan itu dilaksanakan ia akan menyebabkan kaum Melayu tersisih memiliki kedua-dua hartanah itu.

"Bayangkan jika dimansuhkan, kaum mana yang akan menguasai sektor hartanah di Selangor dan kaum mana pula yang tertinggal daripada memiliki tanah bernilai tinggi.

"Adakah ini balasan pemimpin Selangor kepada rakyat terutama kepada kaum Melayu di negeri itu," katanya.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: