UM - 04/07/10
KEMAMAN 3 Julai - Tiga Naib Presiden UMNO akan mengemukakan usul bagi membolehkan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri di lima buah negeri diserahkan kembali kepada kepimpinan parti di negeri-negeri berkenaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan tersebut diusulkan ekoran keadaan UMNO di lima buah negeri tersebut iaitu Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan kembali pulih dan semakin mantap.
Bagaimanapun, katanya, penyerahan semula jawatan berkenaan memerlukan sedikit masa bagi membolehkan perbincangan dilakukan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Secara tidak rasminya kita telah mengadakan perbincangan dengan Presiden dan Naib Presiden tentang perkara ini namun memandangkan jawatan ini telah diserahkan kepada kita sebelum ini untuk dipertanggungjawabkan, jadi kena tunggu keputusan pimpinan tertinggi UMNO.
"Melihat kepada kepimpinan negeri-negeri yang terlibat saya yakin mereka dapat mengemudi dan menyatukan semula ahli-ahli parti apabila sampai masa jawatan ini diserahkan kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman 2010 di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.
/hwa: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan