BH - 2010/07/19
Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
NGO boleh berfungsi sebagai fasilitator realisasi pertemuan UMNO-PAS
hassanomar@bharian.com.my
NGO boleh berfungsi sebagai fasilitator realisasi pertemuan UMNO-PAS
KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO menyambut baik kesediaan ulama atau mana-mana pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap perpaduan Melayu dan umat Islam untuk membantu merealisasikan perbincangan kerjasama UMNO-PAS.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, ia bukan bermakna UMNO lebih beriya-iya untuk menjayakan perbincangan berkenaan berbanding PAS, sebaliknya lebih mengutamakan perpaduan Melayu dan umat Islam.
Muhyiddin yang menyambut baik kesediaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menjadi perantara pertemuan pemimpin UMNO dan PAS, berkata NGO juga boleh berfungsi sebagai pemudah cara atau fasilitator bagi merealisasikan pertemuan berkenaan.
Beliau sedar kebimbangan pelbagai pihak mengenai perpecahan Melayu dan umat Islam yang mahukan tindakan konkrit bagi membolehkan pemimpin kedua-dua parti berbincang demi perpaduan.
“Saya menghargai kalau ada pihak bersedia menjadi perantara untuk memudahkan usaha ini, malah NGO juga boleh membantu proses ini. Saya sedar banyak pihak menyatakan kebimbangan masalah yang dihadapi (perpaduan Melayu dan umat Islam). Mereka mahu sesuatu yang konkrit dilakukan untuk menentukan kedudukan kita tidak tergugat pada pilihan raya umum akan datang.
“Mufti atau bekas mufti dan pemimpin Melayu, Bumiputera dan Islam boleh membantu mewujudkan persefahaman. Kita harus mengalu-alukannya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Sepanggar, di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini semalam.
Hadir sama, Ketua UMNO Sepanggar, Jumat Idris; Ketua Wanita, Datuk Jainab Ahmad dan Ketua Pemuda, Mohd Joh Wit.
Muhyiddin mengulas kenyataan Harussani kelmarin yang mengesahkan pemimpin UMNO dan PAS ada menemuinya bagi membincangkan kerjasama kedua-dua parti berhubung perpaduan Melayu dan umat Islam, tetapi tidak menyatakan identiti mereka.
Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Harussani bahawa Melayu mungkin tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan dijajah jika terus berpecah kerana bimbang ia akan disalah tafsir.
“Kalau saya ulas, ada yang salah tafsir. Kita tidak perlu terlalu banyak debat dalam media,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap, Muhyiddin meminta pemimpin dan ahli UMNO peringkat akar umbi mengikis pendapat kononnya UMNO tahu mengenai semua aspek berbanding anggota masyarakat lain.
Beliau menegaskan, pemikiran masyarakat sekarang sudah berubah berikutan kemampuan memperoleh maklumat dari pelbagai sumber, terutama internet.
Katanya, anggota masyarakat bijak membuat penilaian dan perbandingan yang sekali gus menuntut pemimpin dan ahli UMNO memperkukuh usaha membantu menyelesaikan masalah rakyat.
/hwa: bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan