27 Ogos 2010

Geran khas bantu belia laksana program 1Malaysia

Bernama - 27/08/2010 5:11pm

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Kerajaan akan menyediakan geran khas bagi membantu dan menyokong pelaksanaan program berkaitan dengan Konsep 1Malaysia yang dikendali oleh golongan belia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, geran itu, yang akan dipercepatkan kelulusannya, akan membolehkan lebih ramai golongan muda melibatkan diri dalam program-program 1Malaysia yang dianjurkan.

Ketika menjawab soalan dalam dialog sempena sesi ”Town Hall” Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) di sini hari ini, beliau berkata, kebanyakan cadangan yang dikemukakan pada sesi itu adalah bernas dan akan diteliti oleh kerajaan.

"Satu daripada cadangan yang menarik perhatian saya ialah mewujudkan dana khas bagi menyokong program 1Malaysia yang dijalankan oleh belia.

“Kita akan sediakannya tidak lama lagi supaya lebih ramai orang muda terlibat dalam program 1Malaysia,” katanya.

Berdasarkan laporan akhir Makmal Pemuda BN, antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya Geran 1Malaysia diwujudkan bagi membantu pelaksanaan projek atau program yang menggalakkan atau meningkatkan hubungan antara kaum dan prinsip 1Malaysia.

Najib berkata, kerajaan akan mencari mekanisme terbaik untuk memperkenalkan geran berkenaan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: