27 Ogos 2010

Tiga remaja mengaku salah atas insiden simbah cat di surau

Bernama - 27/08/2010 8:12pm

SEREMBAN 27 Ogos – Tiga remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak Seremban, hari ini terhadap pertuduhan berkaitan insiden menyimbah cat dan melemparkan botol minuman keras di sebuah surau di Taman Pulai Impian, Sikamat, Isnin lepas.

Tertuduh pertama berumur 17 tahun, tertuduh kedua berumur 15 tahun dan tertuduh ketiga berumur 16 tahun, yang berasal dari sekitar Ulu Temiang dan Sikamat di sini didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi, 23 Ogos lepas.

Dalam pertuduhan pertama, ketiga-tiga remaja didakwa melakukan khianat dengan membaling botol di surau tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh kedua dan ketiga didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat di surau yang sama.

Bagi setiap pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh pertama turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat melakukan kesalahan menyimbah cat di surau terbabit mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret M. Mageshwary membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dan menetapkan 22 September sebagai tarikh sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan akhlak ketiga-tiga remaja itu.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: