UM - 23/8/10
KLUANG 22 Ogos - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru golongan muda supaya memainkan peranan lebih aktif menjelaskan kepada masyarakat mengenai bahaya politik kebencian yang dibawa pembangkang.
Beliau berkata, langkah itu mesti dilakukan bagi menyedarkan semua pihak bahawa tindakan menanam rasa kebencian tidak akan membawa pulangan politik yang baik atau nilai kehidupan yang selari dengan tuntutan Islam.
"Sebab itu saya ingatkan kepada semua, dalam kita nak berpolitik pun ada had dan batasannya. Isu-isu yang berhubung kait dengan agama, perpaduan orang Melayu, kaum kita, jangan sampai berada di dalam keadaan yang keruh dan susah untuk dijaga.
"Bagi saya, ia harus membawa balik pulangan dalam politik secara positif berbanding cara menanam kebencian atau nak melaga-lagakan sesama orang kita. Jadi, dalam konteks ini saya harap yang muda-muda ini memainkan peranan untuk mendekati masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bersahur bersama penduduk Kampung Melayu Batu 4 Paloh dekat sini awal pagi ini.
Bermula pukul 2 pagi, Hishammuddin bersama isteri, Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah turut menghadiri tahlil serta bergotong-royong menyediakan kuih rempeyek dan bahulu di pekarangan Masjid Jamek kampung berkenaan.
Majlis tersebut diadakan sebagai salah satu aktiviti sepanjang Ramadan ini untuk bertemu dan beramah mesra dengan penduduk di kawasan pedalaman.
Terdahulu, beliau bersama isteri menghadiri Majlis Rahmat Ramadan Parlimen Sembrong dan berbuka puasa di Masjid Jamek An-Naim di Felda Ulu Belitong/Bukit Tongkat dekat sini petang semalam.
Beliau turut menggesa pemimpin politik dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), khususnya golongan muda turun menemui masyarakat sekerap mungkin bagi menyampaikan mesej-mesej yang bertujuan memupuk perpaduan rakyat.
Katanya, pemimpin muda dalam BN perlu menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan dengan mengambil langkah proaktif dalam menyelami kehendak dan keperluan masyarakat.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan