21 Ogos 2010

Kembara Merdeka

UM - 21/8/10


Sebahagian daripada 40 pelajar SMK Batu Gajah, berkayak sempena Program Kembara Kayak Merdeka dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Sungai Kelantan, baru-baru ini.


KOTA BHARU 20 Ogos - Program Kembara Kayak Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang menyusuri Sungai Kelantan, memberi pengalaman tersendiri kepada 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Gajah, Tanah Merah.

Jika selama ini mereka sama seperti kebanyakan remaja lain, hanya tahu melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka! pada setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan, namun hakikatnya ramai yang tidak menghayati erti sebenar kemerdekaan itu kerana dilahirkan selepas merdeka.

Justeru, pengalaman mengharungi cabaran berkayak menyusuri Sungai Kelantan sejauh lebih 50 kilometer dari Tanah Merah sehingga ke Dataran Pengairan dan Saliran (JPS) di sini baru-baru ini, memberikan pengalaman cukup berharga buat pelajar terbabit dalam menghayati erti kemerdekaan.

Selain meningkatkan jati diri, cabaran berkayak itu juga sudah pasti merupakan satu ujian fizikal dan mental di kalangan peserta, sebagaimana anggota keselamatan yang terpaksa menyusuri Sungai Kelantan semasa bertempur dengan komunis suatu masa dahulu.

Program itu juga sebenarnya memberikan seribu satu makna kepada setiap peserta, betapa pentingnya kita mengekalkan keindahan alam semula jadi yang merupakan satu kurniaan tidak ternilai daripada Yang Maha Esa.

Pengetua SMK Batu Gajah, Inche Mat Inche Kub semasa ditemui di majlis penutup program itu berkata, penglibatan pelajar dalam program tersebut semata-mata untuk menerapkan semangat patriotisme cintakan negara.

Katanya, penyertaan mereka juga mampu memupuk semangat kerjasama serta berkumpulan yang menjadi asas penting dalam pembentukan seorang insan yang memiliki keseimbangan jasmani dan rohani.

"Tambahan pula pelajar terlibat adalah dari tingkatan empat, lima dan enam yang merupakan kumpulan remaja yang perlu memahami pengorbanan pemimpin dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

"Hasil daripada kemerdekaan itu telah menyediakan ruang pendidikan kepada anak-anak bangsa serta memajukan negara," katanya di sini, baru-baru ini.

Selain itu, kata Inche Mat, aktiviti luar kelas yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum, Panatia Sejarah dan Kelab Kembara SMK Batu Gajah serta Persatuan Kenu Kelantan JPS itu merupakan aktiviti tahunan yang sentiasa mendapat sambutan daripada pelajar.

Sementara itu, beberapa pelajar terlibat ketika ditemui menyatakan, program berkenaan memberikan pengalaman yang tidak boleh diperoleh melalui pembelajaran di dalam bilik darjah.

Kaisan Kamaruddin, 19, berkata, penglibatan semasa berkayak sudah cukup untuk mengukur tahap keberanian seseorang peserta.

"Mengemudikan kayak itu juga memerlukan sifat kerjasama yang tinggi supaya kayuhan berjalan lancar," katanya.

Katanya lagi, sikap pentingkan diri sendiri tidak mendapat tempat pada program itu kerana sikap tersebut akan hanya menimbulkan kesusahan kepada rakan-rakan yang lain dan ia seharusnya tidak diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Bagi Mohd. Khairul Amin Mohd. Zain, 19, pula, berkayak menyusuri Sungai Kelantan merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

Katanya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang laluan adalah semasa melalui kawasan tertentu di sungai berkenaan yang hanya dipenuhi dengan pam penyedut pasir.

Pemandangan seperti itu katanya, amat berbeza dengan keadaan biasa sungai-sungai yang mengalirkan air untuk kepentingan bukan sahaja manusia, malah hidupan lain.

"Saya sedih melihat keadaan tersebut kerana ia dilakukan seolah-olah tanpa sebarang halangan dan sekatan," katanya.

Wan Ainun Wan Zahari, 18, pula berkata, dia mungkin tidak dapat menyaksikan keindahan semula jadi semasa melalui kawasan di sepanjang sungai berkenaan, jika tidak menyertai program tersebut.

Begitu juga katanya, bermalam dalam khemah sebelum program bermula memberikan pengalaman yang tidak mungkin dilupakannya seumur hidup.

Tambahan pula katanya, para peserta juga membuat persembahan kebudayaan yang mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama mereka.

Bagi Siti Munirah Jaafar, 17, program itu bertepatan dengan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini dan ia sewajarnya diterapkan di kalangan pelajar dan remaja.

Sempena program itu katanya, ceramah serta aktiviti fizikal yang dilaksanakan melibatkan kerjasama semua pelajar termasuk kibaran Jalur Gemilang, boleh memberikan kesan mendalam kepada peserta erti sebenar kemerdekaan.

"Hasil sikap prihatin dan kerjasama semua peserta menyaksikan kami dapat meneruskan cabaran menyusuri Sungai Kelantan dan sampai ke destinasi. Semangat seperti ini seharusnya kita terapkan dalam kehidupan seharian," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: