BH(Rencana) - 2010/08/28
Oleh Datuk Mior Kamarul Shahidmkamarul@bharian.com.my
Amaran Indonesia tak selamat dikunjungi jejas sektor pelancongan
SEBAIK saja berita sekumpulan anggota yang menggelarkan diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) mencemari Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan membaling najis dan menggugut untuk mengusir rakyat Malaysia Isnin lalu, media cetak Malaysia berbeza pendekatan dalam menyiarkan berita mengenainya. Pembaca tertanya-tanya mengapa ada media yang membesarkan berita itu, manakala ada media yang hanya menjadikannya sebagai berita biasa, seolah-olah ia tidak ada kaitan dengan Malaysia.
Ada akhbar menyiarkan berita dan gambar demonstrasi itu di muka depan untuk menunjukkan betapa biadab perbuatan kumpulan itu. Di negara lain, sama ada mereka menganggap berita itu adalah penting atau sebaliknya bergantung kepada kepentingan mereka terhadap Malaysia dan Indonesia.
Jika mereka mahu menonjolkan perbalahan dua negara rumpun Melayu dan negara Islam, berita ini diperbesarkan. Jika tidak, demonstrasi itu tidak ada bezanya dengan perhimpunan lain yang berlaku setiap hari di serata dunia. Malangnya, demonstrasi itu berterusan dari sehari ke sehari, daripada 40 orang kepada kira-kira 600 orang, daripada membuang najis dan menghina dengan kata nista, mereka meludah dan membakar bendera Malaysia.
Bagi rakyat, mereka melihat hubungan Malaysia dan Indonesia menjadi kian sensitif. Ini terbukti dalam beberapa peristiwa sebelum ini, hanya disebabkan seorang pembantu rumah rakyat Indonesia yang didera oleh majikan yang tidak bertanggungjawab, ia dikeruhkan dengan percubaan untuk menghuru-harakan rakyat kedua-dua negara sedangkan ia adalah kejadian terpencil membabitkan pekerja dan majikan, tidak ada kena mengena dengan rakyat atau kerajaan. Dalam konteks ini, hubungan rakyat Malaysia-Indonesia, amat rapuh dan sesiapa saja mudah melenting.
Perbuatan BENDERA yang disertai pula anggota Forum Kebangsaan Indonesia dan Forum Betawi Rempug, sama ada suka atau tidak, mempunyai kesan besar terhadap hubungan rakyat kedua-dua negara, meskipun pemerintah Malaysia dan Indonesia, tidak ada kaitan langsung dalam hal ini.
Ia adalah sikap badan-badan berkenaan yang kononnya mengambil pendirian sendiri atau dikatakan tunduk kepada arahan pihak tertentu. Dari logik akal, perbuatan segelintir anggota kumpulan itu berbanding lebih 200 juta rakyat Indonesia, tidak sedikit pun menggambarkan hasrat rakyat Indonesia untuk mengganyang Malaysia. Mereka diibaratkan anjing menyalak bukit. Rakyat Malaysia lebih bersikap rasional kerana tidak bertindak balas secara mendadak. Seandainya semua akhbar di Malaysia dan Indonesia menyiarkan berita dan mengundang provokasi rakyat, keadaan mungkin berbeza, Keseimbangan berita mengenai demonstrasi itu mungkin dapat mententeramkan rakyat negara ini yang ketika itu sudah pun berbalas-balas khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertindak.
Segala-galanya tercetus mungkin kerana salah faham dan secara kebetulan, tambahan pula ada perkara yang terpendam di jiwa. Peristiwa bermula apabila BENDERA mengecam penahanan tiga anggota penguat kuasa Jabatan Kelautan dan Perikanan Indonesia dekat perairan Johor Malaysia dan disusuli pula penahanan anggota pasukan marin Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia.
Biasanya dalam kes seperti ini, masalah diselesaikan melalui perundingan. Tindakan menangkap sesiapa saja yang memasuki perairan negara adalah mengikut peraturan dan undang-undang. Jika undang-undang tidak dipatuhi, ia boleh menimbulkan implikasi lebih besar dan akan menyebabkan undang-undang mudah dicabuli dan kesannya pencerobohan bermaharajalela.
Badan berkenaan langsung tidak menghiraukan keselamatan lebih sejuta rakyat negaranya yang mencari rezeki di negara ini. Jika BENDERA memperjuangkan demokrasi, apakah bentuk demokrasi yang mereka perjuangkan jika mereka sendiri cuba menimbulkan masalah kepada rakyat Indonesia. Apakah mereka masih mengamalkan demokrasi kelas ketiga sedangkan mereka melaung-laungkan bahawa Indonesia hari ini melalui era kebebasan mutlak. Bagaimana jika rakyat Malaysia atau ada badan bertindak balas mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur dengan melakukan perkara sama mereka lakukan – membuang najis, meludah dan membakar bendera Indonesia. Tindakan kumpulan berkenaan, atas alasan apa sekali pun adalah tidak bertanggungjawab.
Mungkin mereka boleh membuat kajian berhubung sikap pekerja rakyat Indonesia di Malaysia. Adakah mereka bersetuju dengan tindakan kumpulan berkenaan membuat onar sebegitu rupa yang boleh mencemaskan mereka di Malaysia. Ia hanya menanam bibit-bibit prejudis rakyat Malaysia terhadap rakyat Indonesia. Sikap badan itu juga tidak memberi kebaikan kepada pemerintah Indonesia. Apabila amaran dikeluarkan bahawa Indonesia tidak selamat dikunjungi rakyat Malaysia, ia menjejaskan perjalanan rakyat Malaysia ke negara itu.
Penurunan ketara pelawat Malaysia ke Indonesia tidak menguntungkan Indonesia. Biasanya pada bulan perayaan begini sepatutnya ramai rakyat Malaysia berkunjung membeli-belah di Jakarta, Bandung, Medan atau di kota lain di negara itu. Disebabkan Indonesia diisytiharkan tidak selamat dikunjungi oleh rakyat Malaysia, ramai mereka yang mengidam untuk membeli-belah di negara itu menukar haluan. Mereka lebih selesa membeli-belah di negara ini, Thailand atau Singapura. Peniaga di Indonesia yang sepatutnya meraih rezeki yang lebih sedikit pada Ramadan ini daripada rakyat Malaysia, terbantut. Mereka terpaksa berpuas hati dengan pelanggan rakyat tempatan saja.
Komen dari Indonesia
“Kami mohon maaf dan menyatakan tidak akan mengulangi hal yang tercela ini. Apabila hal ini terulang kami dari kelompok Benteng Demokrasi Rakyat bersedia bertanggungjawab dan bersedia dihukum berdasarkan undang-undang yang berlaku di Indonesia” begitulah yang tertera dalam sebuah blog.
Satu lagi komen, “Allahu Akbar.......Kami juga mohon maaf....Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Cuma mau tanya, yang membakar bendera Malaysia itu orang Islam atau bukan Islam. Sedih juga kerana bendera Malaysia itu, bulan melambang agama rasmi Malaysia-Islam....kok dipijak-pijak....namun kesabaran tetap menjadi teras demi memperjuangkan Islam... Perjuangan Islam masih belum berakhir.”
Bagaimana pula komen ini: “Syukur Alhamdulillah, damai. Hairan juga saya. Selalunya rakyat Indonesia yang berlebihan dalam segala isu. Kita di sini biasa saja. Ramai keturunan Indonesia berada di Malaysia yang dulunya merantau. Kita mencintai dua-dua negara. Cuma kadang-kadang saudara di sana melihat satu isu secara tergesa-gesa tanpa melihat pokok pangkalnya. Ingatlah kita sering diadudombakan. Cuma, perlukan kita gunakan sedikit otak yang dikurniakan Allah.
Salam Lebaran, maaf zahir dan batin.”
/hwa: bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan