UM - 6/8/10
KUALA LUMPUR 5 Ogos - ''Saya P. Kamalanathan. Saya adalah MP (Ahli Parlimen) Hulu Selangor.'' Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh Kamalanathan, 45, sejurus selepas Mahkamah Pilihan Raya di sini mengisytiharkan beliau telah dipilih secara sah dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor yang berlangsung pada 25 April lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Azahar Mohamed hari ini selepas menolak dengan kos, petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim, 59.
Dalam petisyen itu, Zaid menuntut perisytiharan bahawa keputusan pilihan raya kecil kawasan itu sebagai batal dan tidak berkesan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (EOA) atas dakwaan berlaku perbuatan rasuah dan sogokan yang begitu berleluasa.
Hakim Azahar memutuskan demikian semasa membenarkan bantahan awal Kamalanathan untuk membatalkan petisyen Zaid dengan alasan ia remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah selain gagal mengenal pasti kepada siapa sogokan itu diberi.
Menurut hakim tersebut, petisyen itu ditolak kerana Zaid selaku pempetisyen gagal menyediakan butiran penting yang mencukupi untuk menamakan individu-individu yang kononnya telah dipengaruhi ataupun yang telah mendorong amalan sogokan seperti yang didakwa beliau.
Dalam penghakiman bertulis setebal 27 muka surat itu, Hakim Azahar berkata, beliau terikat dengan prinsip undang-undang yang diguna pakai oleh Mahkamah Persekutuan ketika memutuskan petisyen pilihan raya calon Pas, Mohammad Nazri Din lawan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang memenangi kerusi Parlimen Kubu Gajah, Perak pada 2008.
Memetik prinsip tersebut, ujar beliau, Mahkamah Persekutuan memutuskan menolak petisyen berkenaan disebabkan Mohammad Nazri selaku pempetisyen gagal mengenal pasti identiti kumpulan yang didakwa melakukan rasuah.
Beralih kepada petisyen di hadapan beliau pula, menurutnya, apabila terdapat dakwaan mengenai perbuatan memberi sogokan, maka pihak yang mendakwa itu perlu membekalkan butiran tambahan bagi membolehkan individu berkenaan menyediakan pembelaan.
Ini kerana, tegas beliau, Mahkamah Persekutuan telah menyatakan bahawa dakwaan rasuah dan sogokan mesti disertakan fakta yang lengkap misalnya kepada siapa ia diberi dan siapa yang menerimanya sehingga mendorong pengundi menukar fikiran untuk mengundi parti lawan.
''Saya telah meneliti dan memang benar petisyen tersebut mengandungi pelbagai dakwaan berhubung amalan sogokan. Bagaimanapun ia tidak menyebut nama-nama orang yang terlibat secara spesifik yang kononnya telah didorong atau mendorong amalan sogokan oleh Kamalanathan mahupun 'ejen' beliau.
''Saya berpendapat identiti mereka tidak dijelaskan dan Zaid sendiri tidak tahu siapakah pihak yang dimaksudkannya,'' ujar hakim.
Hakim Azahar berkata, ketiadaan fakta tersebut telah menyebabkan petisyen Zaid, cacat sehinggakan tidak membolehkan ia didengar menerusi perbicaraan penuh.
Beliau juga menyifatkan, cara dakwaan tersebut dibuat seolah-olah pempetisyen ''serkap jarang sahaja''.
Pada 24 Mei lalu, Zaid yang tewas di tangan Ketua Penerangan MIC itu yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.
Selain Kamalanathan selaku responden pertama, Zaid menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan; dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing selaku responden kedua serta ketiga.
Responden kedua dan ketiga diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan terdiri daripada Azizan Md. Arshad, Suzana Atan, Mohd. Azhar Mohd. Yusof dan Norhisham Ismail.
Kamalanathan pula diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun.
Zaid bagaimanapun tidak kelihatan di mahkamah hari ini. Dia diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar, Azahar Azizan Harun, Ang Hean Leng dan Leong Sher How.
/hwa: utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan