UM - 02/08/2010
|
Muhyiddin Yassin bersama Rais Yatim turut mengibarkan bendera kebangsaan ketika tiba pada majlis pelancaran Kempen Jalur Gemilang 2010 sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-53 di Stadium Utama, Kangar, Perlis, semalam. Turut sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. |
KANGAR 1 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat jangan cuba merombak asas-asas pembinaan negara dengan mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum.
Tegas beliau, setiap rakyat harus belajar daripada pengalaman bahawa perbuatan melampau yang mengguris perasaan mana-mana kaum boleh menjejaskan keharmonian, keamanan dan kestabilan politik negara.
"Jangan hanya kerana kepentingan politik yang sempit, atau kecenderungan untuk mencari populariti, ada di kalangan kita sanggup memperjudikan keharmonian kaum dan masa depan negara," katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada perasmian Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-53 di Stadium Utama di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan menteri-menteri Kabinet.
Kira-kira 20,000 warga Perlis memenuhi stadium tersebut bagi meraikan pelancaran kempen berkenaan.
Muhyiddin menambah, rakyat perlu memperkukuhkan asas-asas pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat dengan menyemarakkan perasaan saling hormat menghormati sesama kaum.
"Saya percaya, dengan pengalaman hidup dalam sebuah negara berbilang kaum yang aman dan harmoni sejak sekian lama, rakyat di negara kita dapat menghargai nilai-nilai perpaduan dan keharmonian," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap, melalui sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini, lebih banyak usaha dilakukan oleh agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta untuk memperkukuhkan nilai-nilai perpaduan di kalangan rakyat.
"Saya amat mengalu-alukan peranan pelbagai pihak membantu kerajaan memperkukuhkan perpaduan melalui pelbagai program yang bermanfaat," jelasnya.
Muhyiddin percaya dengan adanya usaha berterusan oleh pelbagai pihak dapat mempertahankan asas-asas negara yang dibina di atas prinsip persefahaman, toleransi dan hormat menghormati antara kaum di negara ini.
/hwa: utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan