26 September 2010

Muhyiddin cabar Kit Siang tunjuk bukti

UM - 26/9/10

MUAR 25 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua dan seorang guru sekolah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.

Tegasnya, berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan, kuasa tersebut terletak di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN) kerana kedua-dua individu tersebut adalah pegawai kerajaan berjawatan tetap DG48.

“Saya cabar Kit Siang membuktikan ikut undang-undang mana atau peruntukan mana yang membolehkan menteri atau Timbalan Perdana Menteri mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai kementerian.

“Lim Kit Siang tolonglah, fahamlah, pergi masuk sekolah belajar undang-undang, tentang pentadbiran atau tentang pengurusan. Dia (Kit Siang) tidak ada pengalaman, dia ketua pembangkang tetapi tidak tahu apa-apa,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Melonjakkan Kecemerlangan Pendidikan Pagoh 2010 anjuran bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran dan Sekretariat Pendidikan Parlimen Pagoh di Dewan Sri Pekembar di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Kit Siang bahawa Muhyiddin enggan menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua di Kulaijaya, Johor dan seorang guru di Bukit Selambau, Kedah yang didakwa mengeluar kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, berdasarkan peraturan, terdapat prosedur tertentu yang perlu dijalankan seperti proses siasatan, menentukan kes, memberi surat tunjuk sebab, memberi ruang untuk menjawab sebelum menjatuhkan hukuman dan proses rayuan berhubung kesalahan disiplin oleh kakitangan awam.

“Kita mesti bertindak adil dan mengikut undang-undang, saya tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya di atas desakan politik DAP atau lain-lain pihak. Perkara ini melibatkan perjawatan tetap kerajaan dan kita mempunyai prosedur dan peraturan mengenainya,” katanya.

Muhyiddin berkata, tindakan yang diambilnya itu adalah berlainan dengan sikap emosional dan politik Kit Siang.

“Kit Siang tidak faham, tak pernah jadi pegawai kerajaan. Dia orang politik, 100 peratus totok politik. Dia tidak faham dengan soal pentadbiran,” katanya sambil menambah pemimpin pembangkang itu hanya mahu menarik sokongan golongan tertentu.

Beliau berkata, sebarang keputusan perlu mengikut undang-undang dan bukan bersifat politik serta sama sekali tidak berkaitan dengan perkauman.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: