Bernama - 25/9/10
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Bonus kepada kakitangan kerajaan, pengurangan faedah kad kredit dan pinjaman perumahan kerajaan serta pelepasan cukai adalah antara saranan pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011.
Itulah antara cadangan menarik yang dikemukakan para pembaca blog itu terhadap pelawaan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat berkongsi pemikiran melalui entri blog www.1Malaysia.com.my. Belanjawan Negara 2011: Pemikiran daripada Rakyat.
Menurut seorang pembaca yang hanya menamakan dirinya sebagai Mohamad, kerajaan pimpinan Najib perlu mengembangkan rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi buruh berkualiti dalam bidang yang ketika ini dikuasai oleh buruh asing.
Beliau menyarankan agar lepasan UPSR yang tidak berminat dengan pendidikan secara akademik dihantar ke sekolah kemahiran supaya tahap keciciran persekolahan dapat dikurangkan ke paras yang paling minimum.
Menurut pembaca itu, kerajaan mempunyai banyak pusat latihan kemahiran sama ada berkaitan elektronik, pertukangan, pertanian, penternakan, perikanan dan lain-lain yang mengambil pelajar lepasan SPM.
Katanya, adalah baik sekiranya pelajar lepasan UPSR yang tidak mahir akademik tapi mahir kemahiran pergi ke pusat latihan kemahiran berkenaan supaya potensi mereka boleh digilap hingga menjadi buruh berkualiti tinggi dalam aspek kemahiran.
Rosli Musa pula antara lain menyarankan agar Najib yang juga Menteri Kewangan menghapuskan cukai RM50 untuk setiap kad kredit manakala faedah kad kredit 24 peratus diturunkan kepada 12 peratus setahun.
Satu lagi saranan menarik beliau ialah pinjaman rumah yang belum diambil oleh kakitangan kerajaan ditukar kepada pinjaman peribadi tunai dan dibenarkan dipohon oleh petugas awam yang masih belum mengambilnya.
Katanya, pesara kerajaan perlu dinaikkan pencen sebanyak 25 peratus manakala kakitangan kerajaan perlu mendapat rebet jalur lebar internet sebanyak RM30 sebulan dan juga meminta agar cukai jalan kereta diturunkan lagi.
Mohd. Amin pula berkata, perkara utama yang harus dilakukan dalam menggubal belanjawan kali ini adalah mengkaji semula semua faedah yang dikenakan kepada peminjam yang membeli rumah.
Katanya, faedah yang dikenakan tidak logik dan membebankan, contohnya harga rumah RM40,000 tetapi faedahnya sampai 90 peratus manakala ansuran sehingga 30 tahun.
Ini katanya, berbeza pula dengan pinjaman untuk membeli kereta pada harga yang sama tetapi faedahnya sehingga 10 peratus dan ansuran selama maksimum sembilan tahun sahaja.
Aidah pula menyarankan agar belanjawan akan datang memberi perhatian kepada usaha memperbaiki pengangkutan awam terutamanya di kawasan yang kritikal dan padat seperti Lembah Klang dan kerajaan harus mengurangkan pembinaan tol atau jalan raya di situ.
"Dengan itu, penggunaan minyak kurang, kurang kereta dijalan raya, kurang kesesakan, tiada masalah parkir dan udara tidak tercemar," katanya.
Pembaca yang menamakan dirinya Liew berkata, perbelanjaan untuk ibu bapa yang telah uzur semakin bertambah dan tanggungjawab ini perlu dipikul oleh anak-anak yang bekerja dan justeru itu mencadangkan agar potongan pendapatan diberi kepada setiap anak yang memberi sumbangan wang untuk kegunaan mereka.
Sebagai seorang kakitangan kerajaan, beliau mengharapkan bonus tahunan dapat diberi kepada semua petugas awam untuk sebulan gaji atau minimum RM 1,500 pada tahun ini.
Seorang lagi pembaca bernama Mohamad berkata, kerajaan boleh memberikan bonus kepada kakitangan kerajaan sekiranya rasuah dan penyelewengan di kalangan kakitangan awam dihapuskan kerana melalui ini, kerajaan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.
Sashii pula berharap Najib dapat membantu menyelesaikan masalah Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) dengan memberi ruang kepada pekerja swasta khususnya yang berada dalam CTOS untuk mendapat pinjaman kerajaan ataupun membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Akaun 2 untuk melangsaikan hutang mereka.
Katanya, pada masa sekarang hanya penjawat kerajaan diberi pinjaman untuk menutup CTOS manakala pekerja swasta diabaikan. CTOS merupakan syarikat yang menyediakan maklumat mengenai kebankrapan, saman sivil, penggulungan syarikat, perisytiharan jualan dan hal ehwal pengarah syarikat.
Seorang lagi pembaca yang menamakan dirinya penyokong Barisan Nasional (BN) meminta kerajaan mengkaji semula faedah pinjaman perumahan kerajaan dan mengurangkan kepada tiga peratus daripada kini empat peratus selain meminta cukai rokok dan minuman keras dinaikkan.
Pembaca bernama Hamdan berkata, beliau seorang guru menentang keras cadangan melanjutkan umur bersara kepada 60 tahun ketika ramai mahasiswa tidak memperoleh peluang pekerjaan yang sesuai bagi mereka.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan