MM - 3/10/10
ALOR SETAR 2 Okt. - Seramai 14 ahli jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Pendang termasuk Yang Dipertuanya, Abd. Rahim Abd. Rahman meletak jawatan selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri yang gagal menyelesaikan masalah dibangkitkan mereka.
Selain Yang Dipertua Pas Pendang, turut meletak jawatan ialah Naib Yang Dipertua, Setiausaha, Ketua Penerangan dan 10 orang AJK.
AJK terbabit bertindak demikian selepas berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk membangkitkan beberapa masalah dan mengemukakan cadangan.
Bagaimanapun, AJK berkenaan mengumumkan peletakan jawatan dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Pas Pendang selepas mendapati kepimpinan negeri masih gagal memenuhi permintaan mereka.
Surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pendang, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, baru-baru ini.
Mohamed Taulan yang ditemui pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri Persatuan Alumni Maktab Mahmud, dekat sini, hari ini mengesahkan beliau telah menerima surat tersebut dan satu mesyuarat akan diadakan Rabu ini bagi memutuskan perkara itu.
"Surat itu hanya menyatakan mengenai peletakan jawatan tanpa mengemukakan sebarang sebab," katanya.
Mingguan Malaysia difahamkan, tindakan itu diambil selepas kumpulan itu berpendapat suara akar umbi semakin dipinggirkan oleh kepimpinan parti yang kini menjadi kerajaan selepas menang dalam pilihan raya umum lalu.
Tujuan akar umbi membangkitkan perkara tertentu kepada kepimpinan parti adalah untuk membantu kerajaan negeri memperkemas dan memantapkan jentera pentadbiran.
"Bagi mereka, perjalanan pentadbiran negeri ketika ini tidak mencapai matlamat yang dimahukan oleh kebanyakan pemimpin Pas di peringkat kawasan," kata satu sumber kepada Mingguan Malaysia.
Azizan yang ditemui pada majlis sama mengakui terdapat beberapa isu yang menyebabkan kumpulan itu tidak berpuas hati dan bertindak meletak jawatan.
Beliau bagaimanapun menegaskan, tidak ada masalah daripada tindakan tersebut dan Pas Kawasan Pendang juga tidak lumpuh kerana masih terdapat 16 AJK yang tidak mengambil tindakan sama.
Pesuruhjaya Pas Kedah itu juga menafikan tindakan itu berpunca daripada perasaan tidak puas hati AJK berkenaan terhadap beliau.
"Semua ahli Pas sayangkan saya. Tindakan meletak jawatan ini biasa. Anak-anak ini (ahli-ahli Pas) kadang-kadang merajuk. Tak ada masalah apa-apa," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan