UM - 1/10/10
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Teka-teki yang berlanjutan dalam pelan peralihan kuasa MIC akhirnya terjawab apabila Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan pada Januari depan.
Menurutnya, langkah itu adalah bagi memberi peluang kepada timbalannya, Datuk G. Palanivel untuk membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti selaku Presiden MIC.
''Saya akan umumkan tarikh peletakan jawatan tidak lama lagi. Selepas meletak jawatan, saya tidak akan mencampuri urusan dalaman parti dan hanya akan menjadi ahli biasa MIC," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di sini hari ini.
Samy Vellu, 74, adalah pemimpin paling lama pernah memegang jawatan tersebut apabila menjadi Presiden MIC selama 31 tahun.
Beliau dijangka meletak jawatan selepas menghadiri perhimpunan kesembilan Pravasi Bharatiya Divas di New Dehli, India, Januari depan.
Tambah Samy Vellu, peletakan jawatan beliau tidak ada kena mengena dengan desakan beberapa pihak baru-baru ini.
''Saya telah pun membuat keputusan ini beberapa tahun lalu, tetapi mereka (Gerakan Anti Samy Vellu) mula menggesa saya selepas pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada April lalu," katanya.
Ketika ditanya mengenai pengumumannya sebelum ini iaitu hanya akan menyerahkan jawatannya selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada tahun 2012, Samy Vellu berkata, beliau tidak patut berbuat demikian kerana pemimpin baru harus bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
''Palanivel memerlukan masa untuk melatih diri bagi menghadapi cabaran dan saingan ketika pilihan raya umum akan datang. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menyerahkan jawatan dalam masa terdekat ini.
''Saya berharap kepimpinan Palanivel akan menarik lebih ramai masyarakat India untuk menyokong MIC dan Barisan Nasional (BN)," jelasnya.
Katanya, pada masa ini beliau sedang berusaha untuk mengukuhkan hubungan persahabatan di antara India dan Malaysia dalam sektor ekonomi.
''Selepas meletak jawatan, saya mungkin akan membantu negara ini bagi meningkatkan sumber ekonomi dengan mengukuhkan lagi persahabatan kedua-dua negara," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan