UM - 20/10/10
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan bersikap terbuka dengan apa yang disuarakan oleh para perwakilan UMNO pada perhimpunan agung parti itu yang bermula hari ini.
Presiden UMNO itu berkata, jika parti lain boleh membuat desakan terhadap kerajaan, beliau tidak melihat ia akan menjadi satu masalah jika UMNO melakukan perkara yang sama.
Bagaimanapun beliau yang juga Perdana Menteri mengingatkan ia perlu dilakukan secara bijaksana dan matang.
"Harapan saya ia satu perhimpunan yang menunjukkan kita adalah parti yang penuh dengan kebijaksanaan, matang dan kita boleh membahaskan isu-isu nasional secara beradab.
"Di samping itu ia boleh memberi pandangan bernas untuk membantu merumuskan hala tuju dasar negara," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini hari ini.
Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Ditanya mengenai sambutan ahli UMNO terhadap seruan transformasi beliau, Najib berkata, beliau melihat sudah wujud petanda positif walaupun ada sesetengah ahli masih memerlukan masa.
Katanya, semua orang tahu transformasi manusia tentu sekali amat mencabar namun UMNO akan cuba melakukan yang terbaik.
"Saya lihat sudah ada yang memberikan tindak balas dan ada yang mungkin memerlukan masa lagi untuk menunjukkan penghayatan sepenuhnya.
"Tetapi kita jangan berasa kecewa sebab kita berurusan dengan manusia, manusia tentu sekali amat mencabar untuk melakukan perubahan besar dalam masa yang singkat," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, UMNO tidak perlu mengambil iktibar daripada kekecohan yang berlaku pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam persediaannya untuk menghadapi pemilihan UMNO akan datang kerana parti itu mempunyai cara tersendiri.
"Kita tidak boleh ambil iktibar daripada apa yang berlaku itu, kita ada cara kita sendiri dan insya-Allah kita akan uruskan perkara ini dengan baik apabila tiba masanya.
"Ya, kita sedar tidak mudah dan ia tidak boleh dipandang ringan tetapi saya percaya ahli UMNO akan menghormati disiplin parti dan menunjukkan imej yang baik," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan