3 November 2010

Calon BN janji kesejahteraan rakyat Galas

UM - 3/11/10


Abdul Aziz Yusoff berdialog dengan kaum wanita Kampung Baru Hulu mengenai masalah setinggan di kampung tersebut pada kempen Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Gua Musang, semalam.

GUA MUSANG 2 Nov. - Selepas menamatkan lapan hari berkempen dan bertemu hampir semua pengundi di Galas, calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff (gambar), 49, telah memahami rintihan dan keperluan masyarakat kawasan itu.

Abdul Aziz berkata, masa yang diluangkan itu amat bererti untuk beliau mengambil setiap input sebagai persediaannya jika dipilih menjadi wakil rakyat di situ dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Khamis ini.

Katanya, perancangan sudah ada untuk membantu semua penduduk Galas tidak kira Melayu, Cina, India atau Orang Asli.

Justeru, menurut beliau, penduduk Galas perlu membuka ruang dan memberi peluang kepadanya berkhidmat kepada rakyat serta berjanji bekerja tanpa mengira waktu demi kesejahteraan rakyat.

"Saya merayu kepada semua pengundi agar memberi peluang kepada saya agar semua masalah penduduk yang diluahkan selama tempoh berkempen ini dapat kita selesaikan.

"Saya ada perancangan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menjelang hari terakhir kempen, Abdul Aziz terus menggiatkan usaha meraih undi dengan berjumpa seramai mungkin pengundi.

Bagi Abdul Aziz, soal letih tidak ada dalam kamus hariannya sejak 24 Oktober lalu apabila diberi tanggungjawab untuk merampas kembali kerusi DUN Galas dari Pas.

"Sambutan yang saya terima cukup positif, saya sampaikan mesej bahawa saya ingin berkhidmat untuk mereka sebaik mungkin.

"Jadi saya minta mereka memberi saya peluang untuk membuktikannya," katanya ketika ditemui.

Setiap kali berkempen, hubungan rapat yang terjalin antara Abdul Aziz dan pengundi di Galas dapat dilihat apabila hampir setiap orang yang ditemui amat mengenalinya.

Jelasnya, semua kaum yang ada di sini boleh menaruh harapan terhadapnya untuk membela nasib mereka terutama gagasan 1Malaysia akan menjadi pendorong kepadanya untuk berlaku adil pada setiap masa.

"Saya mewakili semua kaum. Tiada yang terlepas daripada bantuan saya kerana Gua Musang sejak dulu lagi memang dihuni oleh masyarakat berbilang bangsa.

"Saya tidak akan pilih kasih, tidak kisahlah jika jumlah satu kaum itu lebih banyak berbanding kaum lain asalkan mereka memerlukan sesuatu maka saya sedia mencari jalan penyelesaian," tambahnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: