4 November 2010

Fatwa baru Pas terdesak

UM - 4/11/10

GUA MUSANG 3 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fatwa baru yang dikeluarkan oleh Pas semalam menunjukkan parti itu kini kian terdesak dalam menarik sokongan orang ramai terhadap perjuangannya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Pas boleh mengeluarkan fatwa secara bermusim terutama semasa pilihan raya tetapi mesti bertanggungjawab dengan tindakan mereka yang jelas menyalahgunakan agama apabila sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum untuk kepentingan politik.

Katanya, Pas bagaimanapun tidak akan berhenti daripada bertindak sedemikian kerana bukan sekali, malah sudah berkali-kali pemimpin mereka mengeluarkan fatwa yang boleh mengelirukan rakyat semata-mata bagi mendapatkan sokongan.

"Saya fikir, sudah sampai masa dan ketika rakyat membuat penilaian yang bijaksana bahawa apa yang dilakukan oleh Pas sebenarnya bukan sahaja menyalahi hukum tetapi memperdayakan rakyat,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Tengku Muhammad Fakhry Petra di sini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Galas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Muhyiddin mengulas tindakan Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Muhammad Zain Abdul Rahman di Teluk Panglima Garang, Selangor semalam yang menegaskan, penerima bantuan kerajaan negeri Selangor haram menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang.

Muhammad Zain mendakwa, memberi sokongan kepada BN adalah menyalahi tuntutan agama kerana ia membelakangkan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas yang didakwanya sebuah kerajaan yang adil.

Mengulas isu sama dalam ucapannya sebelum itu, Muhyiddin berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas itu menunjukkan parti tersebut cukup terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat sehingga sanggup memutar-belitkan agama.

Beliau melahirkan kebimbangan dengan tindakan para pemimpin Pas apabila sewenang-wenangnya membuat fatwa untuk diselewengkan termasuk dakwaan menyokong Pas masuk syurga dan mendapat pahala.

Hakikatnya, kata Timbalan Perdana Menteri, soal dosa, pahala, syurga dan neraka adalah ketentuan Allah semata-mata.

Sehubungan itu katanya, rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan fitnah, fatwa dan tohmahan yang dilemparkan oleh parti pembangkang itu kerana Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh BN tidak pernah membangkitkan persoalan sedemikian dalam membawa pembangunan dan menyalurkan bantuan kepada mana-mana pihak termasuk ahli Pas sendiri.

Beliau mengambil contoh pembinaan sekolah yang dibuat oleh kerajaan BN di mana anak-anak pemimpin Pas juga boleh belajar tanpa sebarang sekatan, hatta mendapat bantuan persekolahan yang disediakan sekiranya mereka layak.

Jelasnya, pembangunan yang dibuat oleh kerajaan adalah untuk memenuhi kehendak duniawi setiap rakyat tanpa mengetepikan kepentingan akhirat dengan membina masjid dan banyak lagi pengisian program keagamaan.

"Kalau dibandingkan 20 tahun Pas memerintah Kelantan, saya nak cabar Pas berapa banyak masjid yang dia bina berbanding BN atau UMNO. Segala yang dibuat oleh kerajaan adalah tuntutan fardu kifayah untuk memakmurkan negara dan rakyat," katanya.

Ditanya tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan wang tunai kepada masyarakat Orang Asli selepas pengislaman mereka di Lojing kelmarin, katanya, beliau menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat.

"Bagi saya, itu perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang. Sama ada pihak berkuasa nak bertindak, itu terserah kepada mereka," katanya.

Mengenai peluang BN di Galas dan Batu Sapi, Muhyiddin percaya, BN akan mencapai kemenangan selepas segala gerakan dilakukan bagi meyakinkan rakyat tentang kemampuan Kerajaan Pusat untuk membawa kemajuan kepada negara bagi faedah bersama.

"Kita berdoa kepada Allah SWT selepas kita berusaha dengan begitu gigih, tidak mengira penat dan lelah, siang dan malam, tak cukup tidur, tak cukup makan dengan niat ikhlas untuk menolong rakyat, Tuhan akan memakbulkan doa itu," katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan pengundi supaya keluar beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi esok dan tidak perlu bimbang kerana polis telah memberi jaminan keselamatan adalah terkawal.

"Kita harap suasana esok adalah baik dan mereka yang berhak mengundi, keluarlah mengundi," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: