4 November 2010

Pemberian wang tetap dianggap sogokan

UM - 4/11/10

GUA MUSANG 3 Nov. - Tidak kira apa pun tafsiran yang dibuat oleh Pas, apa yang pasti mengikut Seksyen 10 (A), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi wang kepada Orang Asli boleh dianggap sebagai sogokan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, mengikut tafsiran undang-undang, pemberian wang kepada pengundi yang boleh mendorong mereka mengundi adalah rasuah atau membeli undi yang diletakkan di bawah tajuk sogokan dalam seksyen berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, SPR telah memberi penerangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan terpulang kepada badan tersebut untuk mengambil langkah seterusnya.

"Jadi apa yang saya sebutkan itu dalam konteks undang-undang. Kalaulah pihak berkenaan mahu mentafsirkan wang zakat atau bantuan apa sahaja itu adalah namanya alasan.

"Tapi undang-undang mengatakan begitu. Dalam pertukaran wang daripada satu tangan ke satu tangan dan kalau orang yang menerima wang ialah pengundi di kawasan itu tetapi kalau yang menerima bukan pengundi tidak menjadi masalah.

"Dalam undang-undang, jika wang yang diterima oleh pengundi berdaftar dalam kawasan yang mana pilihan raya berlaku dan ia diberi atas nama sesiapa sahaja atas nama parti atau calon ke maksudnya jelas memang boleh dirujuk dalam seksyen itu," tegasnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada beberapa pemuda Orang Asli selepas mengislamkan mereka pada Majlis Mesra Rakyat bersama Menteri Besar di Pos Sandrop kelmarin.

Ia merupakan sebahagian program sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan esok.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan kira-kira 75 sijil penyertaan projek perumahan berkelompok kepada masyarakat Orang Asli di situ.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan calon Pas bagi pilihan raya berkenaan, Dr. Zulkefli Mohamed.

Wan Ahmad berkata, sehingga petang ini, SPR belum menerima apa-apa laporan mengenai pemberian itu dan kalau ada sekali pun ia tidak mempunyai hak untuk melakukan siasatan.

"Macam saya kata tadi, alasan apa atau tujuan apa sekali pun. Video pun sudah menunjukkan jelas jadi terserah kepada orang lainlah, terserah kepada SPRM mahu ambil tindakan atau tidak.

"SPR cuma memberi nasihat dan undang-undang mahu menerimanya atau tidak terpulang. Dalam negara kita bukan SPR yang buat siasatan," tambahnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: