2 November 2010

Isu tawar wang: SPR serah kepada polis, SPRM

UM - 2/11/10

GUA MUSANG 1 Nov. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan mengenai laporan Pas menawarkan wang tunai sehingga RM250 kepada pengundi luar supaya pulang mengundi di Galas, 4 November ini.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung laporan tersebut.

"Setakat ini kita tidak mendapat sebarang laporan mengenainya, begitu juga pihak polis. Benda macam itu kita kena ada bukti.

"Bagaimanapun, kita serahkan kepada polis dan SPRM untuk menjalankan siasatan sekiranya ada orang yang membuat aduan," katanya kepada pemberita selepas melawat proses pembuangan undi pos melibatkan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman bahawa parti itu akan membayar sehingga RM250 kepada 1,557 pengundi luar yang berdaftar di Galas.

Bayaran tersebut, dakwa Abdul Halim bukan rasuah, sebaliknya semata-mata untuk menampung perbelanjaan pengundi luar yang bakal pulang menunaikan tanggungjawab mereka nanti.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, perkara tersebut bagaimanapun perlu dibuktikan terlebih dahulu.

"Biar polis dan SPRM buat siasatan," katanya yang turut menyatakan rasa berpuas hati dengan proses kempen menjelang hari pengundian nanti.

Katanya, SPR tidak menerima sebarang laporan mengenai insiden tidak diingini setakat ini, malah wakil Pas yang memantau proses pembuangan undi pos di IPD menyifatkan proses pengundian amat telus.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tawaran wang tunai oleh Pas itu boleh disifatkan sebagai sogokan dan ia menyalahi Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Jelasnya, seksyen itu melarang sebarang aktiviti menyogok pengundi melalui apa jenis tawaran sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi tujuan membeli undi.

"Pas berkemungkinan terpaksa berdepan dengan petisyen pilihan raya jika calon Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati dengan keputusan pengundian 4 November ini," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: