UM - 12/11/10
|
Sebahagian murid Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 bersorak gembira setelah berjaya memperolehi 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang diumumkan, semalam. - BERNAMA |
HULU TERENGGANU 11 Nov. - Terengganu mencipta sejarahnya tersendiri apabila sekali lagi muncul sebagai negeri terbaik keseluruhan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama sedekad.
Pencapaian yang diumumkan hari ini menepati, sasaran Jabatan Pelajaran dan kerajaan negeri bagi memastikan pencapaian anak negeri terus kekal pada tahap cemerlang.
Seramai 3,560 orang daripada 23,147 calon UPSR di negeri itu mendapat semua A (15.4 peratus) dengan menunjukkan peningkatan sebanyak satu peratus berbanding tahun lalu.
Selain itu, daripada jumlah tersebut seramai 2,138 orang (9.2 peratus) mendapat 4A 1B manakala seramai 15,462 (66.8 peratus) mendapat minimum C dalam semua subjek.
Bagaimanapun, nilai Gred Purata Negeri (GPN) negeri itu sedikit menurun berbanding tahun lalu iaitu 2.22 kepada 2.25 peratus.
Pengarah Pelajaran negeri, Razali Daud berkata, meskipun berlaku sedikit penurunan dalam keputusan GPN serta beberapa subjek, namun Terengganu masih mencatatkan pencapaian cemerlang berbanding negeri-negeri lain dalam UPSR kali ini.
Katanya, tahun ini, sebanyak lima mata pelajaran menunjukkan peningkatan dalam keputusan UPSR negeri itu iaitu Bahasa Melayu Pemahaman Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)), Matematik, Sains, Bahasa Melayu Penulisan (SK dan SJKC).
"Bagi keputusan Bahasa Melayu Pemahaman SK, seramai 22,667 calon mengambil kertas itu dan 11,542 calon memperoleh A manakala pencapaian subjek Matematik, seramai 23,143 calon mengambil kertas itu dan 8,336 calon memperoleh A," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, bagi pencapaian mata pelajaran Sains, seramai 23,140 calon menduduki kertas itu dan seramai 7,280 calon memperoleh A manakala subjek Bahasa Melayu Pemahaman (SK dan SJKC), seramai 466 calon mengambil kertas itu dan daripada jumlah tersebut seramai 171 orang memperolehi gred A.
Tambahnya, seramai 57 calon mendapat A dalam subjek Bahasa Melayu Penulisan (SJKC) daripada 266 calon yang menduduki mata pelajaran itu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 35 sekolah berada dalam kelompok sekolah berpencapaian tinggi dengan Nilai Gred Purata Sekolah (GPS) di bawah 1.8 peratus dengan diungguli Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok, Setiu, (69.23 peratus).
Ini diikuti Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu Tok Dor, Besut (58.33 peratus), SK Kampung Tayor (50 peratus), SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu (46.81 peratus) dan SK Tok Randor (46.15).
"Antara sekolah lain adalah SK Bukit Tadok, SK Tepus, SK Dusun, SK Mangkok, SK Kuala Berang, SK Jenang, SK Tengku Mahmud II, SK Seri Berang, SK Kuala Berang, SK Guntung Luar, SK Kampung Dalam Fikri Sungai Tong, SK Dendang, SK Tengku Mahmud, SK Lembah Jaya, SK Tengku Ampuan Intan, SK Beladau Kolam, SK Rantau Petronas, SK Langgar, SK Felda Kerteh I dan SK Tok Raja.
"Juga SK Sultan Ismail, SK Paka II, SK Sultan Sulaiman I, SK Kampung Raja, SK Paya Bunga, SK Ladang Gajah Mati, SK Paka II, SK Amer dan SK Tok Motong," jelasnya.
Pada tahun ini, kesemua calon UPSR negeri dari 347 sekolah termasuk 472 calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menduduki peperiksaan itu di 371 pusat peperiksaan.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan