UM - 7/12/10
PUTRAJAYA 6 Dis. - Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng gagal mempertahankan tuntutan saman terhadap kerajaan Malaysia setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonannya bagi mendapat kebenaran merayu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff sebulat suara berpuas hati bahawa persoalan undang- undang yang dibangkitkannya gagal menepati kehendak Seksyen 96 Akta Mahkamah- Mahkamah Kehakiman.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Yusof dan Hakim Datuk Heliliah Mohd. Yusoff turut mengarahkan Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong Boon Hua, 86, membayar kos RM10,000.
Bekas pemimpin komunis itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan Malaysia membatalkan saman tersebut dengan kos.
Mahkamah Rayuan pada 27 Julai lalu berpendapat, kerajaan Malaysia tidak melanggar perjanjian yang ditandatangani Chin Peng berikutan penyiaran artikel dalam dua akhbar yang didakwa mencemar reputasinya.
Ini kerana perkataan yang terkandung dalam akhbar The Star bertarikh 21 Mac 2005 dan The Sun pada 6 Mei 2005 itu di luar daripada terma yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut.
Terma 1.2 yang dimaksudkan itu menyebut: "Kedua-dua pihak dilarang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah di antara satu sama lain.
"Semua kenyataan akhbar perlu mematuhi semangat perjanjian dan tidak boleh mengandungi terma-terma fitnah seperti 'menyerah diri kepada musuh' atau 'menyerah atas keadaan tertentu'."
Mahkamah Rayuan berpendapat, terma berunsur fitnah itu hanya terhad kepada larangan menyiarkan perkataan yang mempunyai kesan terhadap 'menyerah diri kepada musuh' atau 'menyerah atas keadaan tertentu'.
Mahkamah Tinggi pada 30 September tahun lalu berpuas hati bahawa tindakan Chin Peng mengemukakan saman atas kapasitinya sebagai bekas Setiausaha Agung PKM tidak dapat dipertahankan kerana parti itu tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan untuk membolehkannya memfailkan saman ataupun disaman.
Selain itu, beliau menyatakan, saman tersebut tidak dapat dipertahankan memandangkan apa yang berlaku antara PKM dengan kerajaan Malaysia memang sudah menjadi fakta sejarah dan tidak asing lagi kepada umum.
Justeru itu, ujar beliau, Chin Peng tidak perlu mempersoalkannya dengan menyatakan reputasinya terjejas seolah-olah dia telah melakukan kesalahan jenayah semata-mata disebabkan penyiaran artikel itu.
Chin Peng memfailkan saman berikutan kenyataan Timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Tan Sri Zainuddin Maidin bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan dokumentari mengenai kekejaman komunis selepas Perang Dunia Kedua, yang didakwanya melanggar terma perjanjian.
Dalam pernyataan tuntutan, Chin Peng melalui satu perjanjian bertarikh 2 Disember 1989 antara kerajaan Malaysia dengan PKM untuk menamatkan permusuhan telah berjanji menghentikan segala aktiviti persenjataan dengan serta-merta.
Sebagai balasan, plaintif kedua berjanji untuk menamatkan segala aktiviti persenjataan dan terdapat suatu terma yang nyata dalam perjanjian tersebut bahawa defendan hendaklah menolong ahli-ahli PKM memulakan kehidupan baru.
Chin Peng turut menuntut perisytiharan bahawa perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan PKM untuk menamatkan permusuhan yang ditandatangani di Haadyai, Thailand adalah sah, boleh dilaksanakan dan mengikat pihak defendan.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan