UM - 28/1/11
KOTA BHARU 27 Jan. - Kerajaan Pas Kelantan digesa supaya mendedahkan laporan firma audit bebas yang dilantik membuat penilaian sebenar berhubung dakwaan berlaku kerugian dalam pembinaan Bazar Tok Guru oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Bekas Pegawai Perhubungan Awam PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa telah berjanji untuk melantik sebuah firma bebas bagi menilai kerugian tersebut pada 27 Januari 2010 selepas isu Bazar Tok Guru hangat diperkatakan.
Beliau yang juga penulis laman blog Kickdefella berkata, status mengenai firma audit bebas itu senyap begitu sahaja selepas berita pelantikannya dilaporkan oleh media.
"Saya dengan ini meminta Husam menjelaskan segera apa sudah jadi dengan firma audit bebas itu dan apakah keputusannya selepas genap setahun pengumuman itu dibuat.
"Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh tutup mulut dan selesaikan janji anda seperti yang termaktub di dalam perjanjian persefahaman antaranya dengan dua persatuan peniaga pada 6 Mac 2008 dan jangan salahkan UDA Holdings Berhad seperti yang dipaparkan dalam akhbar hari ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Isu mengenai Bazar Tok Guru timbul semula apabila 415 peniaga dari dua pasar, iaitu Pasar Lambok Arked Uda dan Pasar Besar MPKB tidak berpuas hati serta mendakwa kerajaan Pas Kelantan tidak berpegang kepada janji apabila memberikan lot perniagaan yang lebih kecil kepada mereka di bazar berkenaan.
Ketika kekalutan mengenai isu itu kembali memuncak, semalam, Husam mengumumkan pihaknya berhasrat mengambil alih tanah yang menempatkan Arked Uda bagi membangunkan premis perniagaan sebagai usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi peniaga kecil di situ.
Pada 15 Januari 2010, Nik Abdul Aziz mengaku kerajaan negeri telah melakukan kesilapan sehingga menanggung kerugian besar dalam projek pembinaan Bazar Tok Guru .
Sehari sebelum itu, Syed Azidi mendedahkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50 juta.
Ia disebabkan kerajaan negeri terpaksa menebus kembali aras bawah bangunan Bazar Tok Guru dengan membayar RM23 juta selain menanggung kerugian RM30 juta kerana kehilangan tanah seluas 3.36 hektar.
Bagi mencari penyelesaian kepada isu tersebut, Husam pada 27 Oktober 2010 telah membuat pengumuman Kerajaan Pas Kelantan melantik sebuah firma audit bebas untuk membuat penilaian sebenar berhubung dakwaan berlaku kerugian dalam pembinaan Bazar Tok Guru yang dilaksanakan PMBK.
Sementara itu, Syed Azidi dalam 'entri' terbarunya mendakwa, Kerajaan Pas Kelantan akan mengalami kerugian berlipat kali ganda sekiranya mengambil alih tanah milik UDA Holdings Bhd. itu dan membina sebuah bazar baru untuk peniaga kecil.
"Ini mengakibatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Pas Kelantan daripada isu Bazar Tok Guru atau namanya sekarang Lubang Kubur Tok Guru ini akan meningkat lagi.
"Jika setahun yang lalu blog ini telah melaporkan Kerajaan Negeri kerugian RM50 juta akibat angkara urusan menantu Nik Aziz dalam hal Lubang Kubur ini. Jika dicampur dengan jumlah terbaru pampasan yang akan dibayar, ia pasti meningkat lagi.
"Hari ini, Husam memaklumkan kos kerugian ketiga iaitu apabila kerajaan negeri akan terpaksa membayar pampasan pada jumlah yang belum disebut kepada UDA Holdings Berhad," katanya.
Katanya, kos-kos ini tidak sepatutnya berlaku jika Pas telah menunaikan janji Pilihan Raya Umum 2008 dan rakyat tidak memilih Menteri Besar yang memberikan kuasa besar kepada menantunya di PMBK.
"Tetapi ini semua kos duniawi semata-mata. Bagaimana kos di akhirat kelak ke atas pemimpin yang menipu dan menindas rakyat yang dipimpinnya.
"Saya yakin Pas dan penyokongnya tahu jumlah kos di akhirat kelak kerana sekian lama mereka asyik duduk mengira kos akhirat yang mereka kata akan ditanggung oleh pimpinan Barisan Nasional," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan