19 Januari 2011

Terharu keprihatinan Rais

Bernama - 19/1/11


Wakil daripada 35 ahli PKR Masyarakat Orang Asli Segamat Kecil menyerahkan borang masuk semula sebagai ahli UMNO kepada Rais Yatim di Perkampungan Orang Asli Segamat Kecil di Labis, semalam. – Gambar ihsan KPKK

LABIS 18 Jan. – Penduduk miskin dan sakit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang hari ini tersentuh dengan keprihatinan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim terhadap nasib dan kebajikan mereka.

Mereka begitu gembira dan terharu dengan kesudian Rais berkunjung ke rumah mereka untuk mendengar masalah mereka dan mencatatkan keperluan yang mereka inginkan daripada kerajaan.

Seorang peneroka felda, Ahmad Mohd Amin, 76, yang menggunakan kerusi roda sejak sembilan tahun lepas melahirkan rasa gembira dengan kunjungan Rais yang diiringi tujuh sukarelwan felda itu.

“Saya gembira betul dengan kehadirannya dan tengok mukanya pun sudah cukup,” kata bekas konstabel polis itu yang menjadi peneroka sejak 1965 kepada pemberita.

Ahmad yang kini tinggal berdua dengan isterinya, Salamiah Abdullah, 59, di rumah itu turut berterima kasih kepada Rais dan tujuh sukarelawan berkenaan yang berjanji akan membaiki tandas di rumahnya.

Pada lawatan itu, sukarelawan berkenaan juga berjanji akan membantu membaiki beberapa buah rumah peneroka lain dalam tempoh seminggu ini.

Ko Ah Ba, 59, dari Kampung Baru Cina Labis bersyukur kerana Rais berjanji akan membantunya mendapatkan bantuan tambahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk anaknya Kah Ron, 17, yang menghidap Sindrom Down.

“Kah Ron hanya menerima bantuan bulanan sebanyak RM50 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan itu tidak mencukupi memandangkan dia perlu memakai lampin pakai buang,” katanya dan menurutnya dia memerlukan sekurang-kurangnya RM300 sebulan bagi menampung keperluan anaknya itu.

Pada kunjungan itu, Ah Ba berbual dengan Rais dalam dialek Hakka ekoran menteri berkenaan fasih dalam dialek itu.

“Kami dari kementerian hari ini menyampaikan bantuan ihsan kepada golongan daif dan sakit tenat serta bantuan persekolahan atas semangat kebajikan 1Malaysia.

“Kita lakukan ini bagi mengisi tuntutan kasih sayang, keharmonian dan nilai asas kemanusiaan” kata Rais kepada pemberita.

Sementara itu, semasa melawat ke Kampung Orang Asli Segamat Kecil di sini, Rais yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menerima borang permohonan untuk menganggotai UMNO daripada 35 penduduk kampung itu yang sebelum ini merupakan anggota PKR.

“Saya terharu dengan sokongan yang diberikan masyarakat ini dan akan menyerahkan borang-borang ini kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman secepat mungkin,” katanya.

Kampung Orang Asli Segamat Kecil merupakan perkampungan Orang Asli Jakun dan mempunyai 583 orang penduduk dari 137 keluarga yang diketuai Tok Batin, Ariffin Noh.

Katanya, kementerian turut meluluskan permintaan penduduk kampung itu bagi mendapatkan beberapa peralatan muzik bagi mempromosi aktiviti kesenian dan kebudayaan mereka.

Pada lawatan ke Sekolah Kebangsaan Segamat kecil, Rais menyampaikan 10 buah netbook dan 63 beg sekolah kepada pelajar sekolah itu. – BERNAMA

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: