UM - 22/2/11
KUANTAN 21 Feb. - Barisan Nasional (BN) akan mengelakkan pendekatan kempen 'syok sendiri' sebaliknya menggunakan kaedah berhemah serta merendah diri ketika menemui pengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, jentera BN akan mengunjungi rumah ke rumah bagi memberi penjelasan berhubung sebarang isu dan masalah.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Kerdau berkata, cara berceramah didapati kurang berkesan kerana kalangan yang akan hadir ialah ahli UMNO dan bukan penduduk tempatan.
"Apa guna kalau kita menyampaikan ceramah jika yang hadir berceramah ialah exco Pemuda UMNO dan mendengarnya ahli Pemuda UMNO. Apa faedahnya?" katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra pelajar Pahang yang menuntut di Mesir di sini, hari ini.
Katanya, jentera yang turun berkempen dari rumah ke rumah akan dilengkapi pelbagai maklumat bagi menyakinkan pengundi.
Adnan berkata, pendekatan itu bukan baru malah memberi kesan positif ketika Pilihan Raya Kecil DUN Sanggang pada April 2000.
Ditanya sama ada BN mampu memperoleh majoriti besar, Adnan berkata, pengundi DUN Kerdau merupakan golongan yang bijak.
"Kalau kita kata kita yakin, ia terletak pada rakyat, rakyat yang menentukan," jelasnya.
Katanya, BN mampu meraih kemenangan berdasarkan sikap penduduk DUN Kerdau yang bukan antipihak berkuasa, setia dan bijak dalam membuat keputusan.
"Dengan kedudukan harga kelapa sawit dan getah yang begitu baik, saya rasa sukar pihak luar meracuni fikiran para pengundi di situ," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan