UM - 2/2/11
| |
| Najib Tun Razak bersama Rosmah Mansor menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Johor (Juita), Datin Paduka Prof. Dr. Jamilah Ariffin semasa melawat penempatan banjir di Dewan Serbaguna Kampung Air Panas, Labis, Johor semalam. |
Bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi (SMKT) Segamat, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor mengambil kesempatan beramah mesra dengan 458 mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
Dalam lawatan singkat itu, Perdana Menteri sempat menyapa keluarga Ali Nurazim Mohd. Suhaimi, bayi lelaki berusia 20 hari yang turut ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir tersebut.
Najib kemudiannya meninjau pula 468 mangsa banjir kebanyakannya berketurunan Cina yang ditempatkan di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Seg Hwa di sini.
Turut sama mengiringi Perdana Menteri dan isteri ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Dr. S. Subramaniam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Othman Jais.
Sementara itu, ibu kepada Ali Nurazim iaitu Rosita Alwi, 40, menyifatkan kedatangan Najib sebagai satu rahmat kepada mereka.
Menurutnya, lawatan Perdana Menteri itu amat bermakna dan sedikit sebanyak mengubat keresahan mereka yang menjadi mangsa banjir.
Rosita yang tinggal di Kampung Jawa, di sini, berkata, paras air di rumahnya naik dengan cepat pada petang Ahad lalu dan dalam masa sejam sudah mencecah ke paras lutut.
“Melihat keadaan ini, saya dan suami serta lapan anak kami keluar mencari perlindungan dan dibawa ke sekolah ini pada petang itu juga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, mereka hanya sempat membawa dokumen-dokumen penting sahaja manakala barang lain tidak sempat diselamatkan.
Mangsa lain, Masilah Hussein, 51, dari Taman Segar di sini hanya tinggal sehelai sepinggang ketika ditempatkan di SMKT itu.
Masilah berkata, ketika air sedang naik, dia tidak ada di rumah kerana mempunyai urusan penting di Labis.
“Saya diberitahu bahawa paras air naik hingga ke siling. Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana terkandas di Labis pada Ahad lalu kerana jalan ke Segamat dinaiki air.
“Saya berusaha pulang ke rumah keesokannya dan nekad meredah banjir sambil memandu kereta mengikut belakang lori,” katanya.
Kati Sufardi, 30, dari Taman Sri Bahagia pula memohon agar kerajaan dapat memberi bantuan secepat mungkin.
Dia berkata, ia bagi meringankan beban mereka kerana ketika ini pusat penempatan sementara itu tidak mempunyai keperluan yang mencukupi.
“Kami hanya tidur beralaskan tikar, makanan pula tidak cukup, kemudahan air di sini tidak ada sejak tiga hari lalu.
“Bagi ibu-ibu yang baru melahirkan anak pula tidak mempunyai bekalan susu, setakat ini kami belum menerima sebarang bantuan,” ujarnya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan