ISTANBUL 24 Feb. – Malaysia dan Turki mendapat pengiktirafan sebagai model negara Islam yang baik untuk dijadikan ikutan terutama oleh negara Islam lain, yang sebahagiannya kini sedang menghadapi bantahan rakyat.
Ini adalah kesimpulan yang dibuat pada Persidangan Pergerakan Sedunia Untuk Keadilan, Keamanan dan Kemuliaan Insan anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, International Movement for a Just World (Just) dan Universiti Bahceschir, Istanbul.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa diminta mengulas pengiktirafan itu berkata, ia menunjukkan apa yang dilakukan oleh kerajaan termasuk melaksanakan program transformasi mendapat pengiktirafan.
“Ini pada saya merupakan satu pengiktirafan sangat besar bahawa apa yang kita sudah buat di Malaysia mendapat pengiktirafan kerana kita telah berjaya memenuhi jangkaan rakyat dan membuat transformasi kepada negara.
“Dalam konteks Turki pun, mereka lihat demokrasi di Turki ini telah menyebabkan pentadbiran yang lebih berkesan dan lebih baik, terutama sekali dari segi ekonomi dan hak asasi.
“Walaupun ada perbezaan tertentu dari segi cara pentadbiran Malaysia dan Turki tetapi pada umumnya mereka anggap ini dua model yang sangat baik untuk dijadikan ikutan terutama sekali kepada dunia Islam,” katanya pada sidang akhbar di akhir lawatan rasmi tiga hari ke Turki di sini.
Najib terlibat pada persidangan itu dalam sesi Debat Dunia BBC yang mengupas topik peranan Islam sederhana yang dikendalikan oleh wartawan BBC, Zeinab Badawi.
Antara ahli panel lain dalam debat itu yang akan disiarkan pada 5 dan Mac ini ialah Timbalan Perdana Menteri Turki, Ali Babacan: Presiden Universiti Paramadina (Indonesia), Anies Baswedan: pensyarah sosiology politik
Universiti Bahceschir, Nilufer Narh dan Naib Presiden Majlis Perniagaan Arab, Khalid Abdulla.
Najib pada sesi itu menekankan pentingnya sistem dalam pentadbiran negara dengan melaksanakan urus tadbir kerajaan yang baik untuk memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.
/hwa: utusan.com.my| um - 25/2/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan