UM - 25/2/11
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Penyertaan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dalam Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dianggap sebagai satu suntikan semangat kepada parti itu untuk meneruskan perjuangan.
Pengasasnya, Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana percaya dengan kredibiliti Tee Beng.
"Ini bermaksud, KITA sudah ada suara di Parlimen dan satu petanda positif kepada parti yang baru sahaja ditubuhkan ini.
"Tambahan pula, beliau seorang ahli politik yang masih muda dan mampu berkhidmat kepada rakyat dengan baik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ditanya adakah kemasukan Tee Beng itu merupakan satu petanda awal kepada partinya akan menjadi alternatif kepada pembangkang, Zahid berkata:
"Saya melihat kami mempunyai ruang untuk mengisi kekosongan ekoran pengaruh PKR yang semakin merosot apatah lagi ketika ini mereka hanya bergantung kepada Pas sahaja.
"Lebih penting lagi, KITA akan menawarkan cara berpolitik baru untuk kebaikan rakyat, bukannya meneruskan budaya hentam-menghentam dan menabur fitnah".
Dalam pada itu, Tee Beng ketika dihubungi berkata, keputusannya menyertai KITA membolehkan karier politiknya diteruskan dan percaya akan dapat membentuk satu pasukan yang mantap bersama Zaid.
"Keputusan ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak malah ia merupakan satu platform baru untuk saya berpolitik. Saya sudah bosan dengan budaya politik fitnah-memfitnah yang diamalkan oleh pihak tertentu," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan