22 Februari 2011

Umat Islam perlu miliki kekuatan intelektual - Muhyiddin

UM - 22/2/11

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Umat Islam di negara ini perlu memiliki kekuatan intelektual untuk memahami ajaran Islam yang sebenar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata beliau, pada masa yang sama, umat Islam juga perlu memahami realiti sosial dan politik yang melatari kehidupan dalam sebuah negara majmuk.

"Kita perlu memastikan model politik yang mengiktiraf kesucian Islam dan menghormati hak penganut agama-agama lain untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing terus diterima di negara kita," katanya.

Beliau berucap pada majlis Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin 2010 anjuran Yayasan Nurul Yaqeen dengan kerjasama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; dan Pemangku Naib Canselor USM, Prof. Ahmad Shukri Mustapha Kamal.

Muhyiddin menambah, terdapat segelintir umat Islam yang sanggup menggadai akidah dengan mendukung fahaman yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar kononnya untuk mewujudkan keharmonian antara agama.

Misalnya, tambah beliau, fahaman pluralisme agama yang cuba dipopularkan oleh sesetengah pihak termasuk pembangkang.

Fahaman itu, jelasnya, walaupun bermula dengan keinginan untuk menghormati hak-hak penganut agama yang berbeza namun berakhir dengan penolakan terhadap kebenaran mutlak sesuatu agama.

"Dalam konteks agama Islam, fahaman ini jelas terpesong daripada landasan akidah dan mesti ditolak oleh umat Islam," kata beliau.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: