KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta anggota parti itu dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya terus meningkatkan usaha mendampingi rakyat dan meningkatkan jumlah pengundi.
Beliau berkata mereka perlu menarik kira-kira empat juta orang yang layak supaya mendaftar sebagai pengundi dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Selaku anggota parti, ia (mendaftar pengundi baru) harus digerakkan kerana ini boleh membantu kita dari segi menguatkan perjuangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan cawangan-cawangan Umno berkelompok bahagian Selayang di sini, semalam.
Beliau berkata setakat ini jumlah anggota Umno adalah 3,248,228 orang dan masih terdapat seramai 478,017 yang belum mendaftar dengan SPR.
Mengulas mengenai persediaan BN menghadapi pilihan raya umum ke-13, Mohd Shafie berkata semua anggota Umno dan parti komponen harus dalam keadaan siap siaga dan sentiasa mendekati rakyat.
Beliau juga meminta anggota Umno supaya mengikis sifat pentingkan diri sebaliknya lebih mendahulukan parti.
"Kita sedar dan tahu sekiranya kita berpegang kepada kepentingan parti, maka kekuatan parti itu akan dapat dijayakan. Tidak ada makna kalau kita hanya mementingkan jawatan dan kuasa tetapi kita alpa, yang penting kuasa untuk bolehkan kita meningkatkan sokongan parti,"katanya.
/hwa: bernama.com.my | bernama - 13/3/11
13 Mac 2011
Anggota BN Diarah Tingkat Usaha Daftar Pengundi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan