6 Mac 2011

Hebat, tidak kira totok atau peranakan

TIAP kaum dalam masyarakat majmuk memberi sumbangan penting untuk pembangunan negara. Ini berlaku dalam segala jurusan, termasuk politik, agama, perniagaan, akademik, sastera, sukan dan juga kewartawanan.

Demikian catatan dalam sebuah laporan berjudul Prominent Indonesian Chinese terbitan Institut Kajian Tenggara Asia, Singapura karya Profesor Leo Suryadinata yang menumpukan kajian kepada politik dan interaksi etnik.

Pada peringkat permulaan dijelaskan betapa daripada segala segi budaya masyarakat Cina di Indonesia dahulu seramai kira-kira 6 juta terbahagi dua, iaitu Cina peranakan berbahasa Indonesia dan yang dipanggil totok. Masa beredar dan generasi ketiga golongan totok menjadi peranakan kerana tidak lagi menguasai bahasa Cina. Dengan demikian warga Indonesia keturunan Cina dicatat nama Indonesia serta nama Cina mereka.

Dicatat segera namanya ialah Arief Budiman (Soe Hok Djin), beragama Islam, terkenal sebagai aktivis politik dan penulis kerana kerap menulis dalam akhbar-akhbar Kompas, Sinar Harapan dan Indonesia Raya. Beliau juga menulis kisah bertajuk Chairil Anwar: Sebuah Pertemuan. Beliau memeluk agama Islam setelah berkahwin dengan Leila pada tahun 1968.

Disebut selanjutnya ialah Halim Rachman (Chai Daoxing) dari golongan totok yang pernah menjadi pengurus besar syarikat rokok Gudang Garam, antara yang ternama di Indonesia. Syarikat tersebut kemudian menyertai perniagaan pelbagai hotel dan restoran.

perniagaan

Seorang lagi ahli perniagaan ternama ialah Mohammad Bob Hassan (The Kian Seng) dari golongan peranakan dan beragama Islam. Beliau pernah menjadi anak angkat Jeneral Gatot Subroto. Beliau terlibat dalam perniagaan dengan anak lelaki Presiden Suharto, bernama Sigit Harjojudanto.

Terlibat dalam gerakan kemerdekaan Indonesia sebagai pejuang gerila ialah Basuki Hidayat (Tjia Giok Thwan) dari golongan peranakan. Lalu kemudiannya ia menerima dua pingat kerana sumbangannya dan dikebumikan di makam pahlawan.

Seorang lagi dari golongan peranakan ialah Haji Yunus Yahya (Lauw Chuan Tho), yang mulanya menuntut di Universiti Rotterdam, Belanda dalam jurusan ekonomi. Sekembali ke Indonesia beliau menandatangani Piagam Asimilasi dan menukar namanya kepada nama Indonesia. Sekembali dari Mekah pada tahun 1980 beliau menubuhkan Yayasan Ukuwah Islamiah untuk menyebar ajaran Islam di kalangan anak-anak muda Cina. Antara buku-buku karangannya ialah Kisah-Kisah Saudara Baru, Muslim Tionghoa.

Juga terkenal di Malaysia ialah Teguh Karya (Steve Liam), dari golongan peranakan, penulis dan pengarah filem, beragama Kristian. Filemnya Ranjang Pengantin memenangi hadiah. Beliau juga memenangi tiga hadiah kerana filem-filemnya Di Balik Kelambu, Ibunda dan Pacar Ketinggalan Kereta.

Seorang lagi dari golongan peranakan Dede Octomo (Oen Tiong Hauw), ahli bahasa, pensyarah Universiti yang mulanya belajar bahasa Inggeris. Semasa di Cornell University Amerika pula beliau mengajar bahasa Indonesia. Beliau kemudian rajin menulis mengenai warga Cina sebagai golongan minoriti.

Seorang dari golongan peranakan bernama Ong Hok Ham mempelajari budaya Jawa secara mendalam dan menerima ijazah sejarah setelah menulis tesis berjudul Runtuhnya Hindia Belanda Indonesia dari 1940-1942. Beliau kemudian menulis untuk majalah Tempo dan turut menandatangani Piagam Asimilasi.

menulis

Turut dicatat ialah nama adik Arief Budiman, juga peranakan Soe Hok Sie yang menulis untuk akhbar-akhbar Sinar Harapan dan Kompas di Jakarta. Setelah Presiden Sukarno digulingkan beliau menulis mengenai nasib tahanan-tahanan politik dan kegiatan rasuah.

Selanjutnya dicatat nama ayah Arief Budiman yang menjadi editor akhbar, bernama Salam Sutrawan (Soe Lien Piet). Sebelum kemerdekaan Indonesia beliau menulis 10 buah novel, antaranya Bidadari Dari Telaga Toba (1928), Jadi Pendita (1934). Beliau menjadi editor akhbar-akhbar peranakan.

Juga terkenal di Malaysia ialah Wim Umbuh, dari golongan peranakan dan kemudian pengarah filem. Filem pertama yang terkenal ialah Terang Bulan Terang Di Kali. Filemnya Pengantin Remaja (1971) memenangi hadiah filem terbaik Asia. Turut memenangi hadiah Senyum Di Pagi Bulan Disember (1975), Pengemis dan Tukang Becak (1979).

Cergas dalam pelbagai bidang ialah Yusuf Wanandi (Liem Bien Kie) peranakan beragama Kristian, aktivis politik dan peguam. Beliau menerima ijazah undang-undang dari Universiti Indonesia (1960). Beliau aktif dalam gerakan para pelajar Indonesia sebelum jatuhnya Presiden Sukarno. Ketika Presiden Suharto mengambil alih kuasa Wanandi menjadi pembantu peribadi Presiden. Beliau kemudian menjadi Pembantu General Ali Murtopo.

Jelas sekali betapa aktif golongan peranakan dan totok di Indonesia dari dahulu lagi dalam pelbagai bidang. Seperti disebut dalam peribahasa Cina “Saku kecil tidak mengandungi barang-barang besar, tali yang pendek tidak boleh menimba perigi yang dalam”.

/hwa: utusan.com.my | mm - 6/3/11

Tiada ulasan: