8 Mac 2011

Kerajaan Pas diminta dedah jual beli tanah Ladang Rakyat - Mustapa

PASIR MAS 7 Mac - Kerajaan Pas Kelantan diminta segera mendedahkan urusan penjualan tanah Ladang Rakyat di Kandek, Dabong yang dianggarkan bernilai lebih RM12 juta kepada sebuah syarikat bukan bumiputera, baru-baru ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penjelasan itu perlu memandangkan wujud dakwaan berlaku penyelewengan dalam transaksi jual beli itu yang dikatakan hanya menguntungkan kroni pemimpin kerajaan negeri, bukannya rakyat yang menjadi peserta.

Tegasnya, rakyat negeri ini mempunyai hak untuk mengetahui siapakah yang mendapat keuntungan dalam transaksi tersebut dan apa hasilnya kepada mereka.

"Sebagai anak Kelantan, saya sendiri mahu tahu apa rasionalnya tanah ini dijual kepada syarikat bukan bumiputera itu dan di manakah kesemua wang itu telah dibelanjakan?

"Kerajaan Pas Kelantan perlu menjelaskan berapa ramai yang mendapat hasilnya dan siapakah kroni yang mendapat keuntungan? Siapakah Exco yang mendapat hasil itu?" kata beliau semasa berucap pada Majlis Pelancaran Gelombang Merah UMNO Pasir Mas, di sini malam tadi.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanapi Mamat.

Sebuah blog, kelatekito.net baru-baru ini mendedahkan wujud perjanjian 'ali baba' dalam pemberian tanah seluas 1,185.2 hektar itu kepada sebuah syarikat bumiputera dimiliki dua beradik pada 2006 untuk fasa kedua pembangunan Ladang Rakyat di Mukim Kandek, Dabong.

Perjanjian pemberian tanah tersebut dikatakan dibuat pada 23 Mac 2006 dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewakili Kerajaan Pas Kelantan, manakala adik-beradik itu mewakili sebuah syarikat perladangan dan ternakan.

Menurut blog tersebut, hasil keuntungan ladang itu dikatakan mampu memberi manfaat kepada hampir 4,500 pesertanya yang menerima dividen sebanyak RM200 sehingga RM300 selepas beberapa bulan perjanjian itu dimeterai.

Bagaimanapun kira-kira tiga tahun selepas itu, syarikat tersebut telah diambil alih oleh sebuah syarikat bukan bumiputera membabitkan penjualan saham sebanyak RM12.75 juta.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menegaskan pemimpin UMNO Kelantan perlu fokus dalam gerak kerja untuk merampas kembali negeri ini.

"Kita buat kerja (menawan kembali Kelantan)," tegasnya sambil menasihatkan mereka tidak terlalu memikirkan siapa akan menjadi menteri besar sekiranya Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri ini.

/hwa: www.utusan.com.my | um - 8/3/11

Tiada ulasan: