8 Mac 2011

Sokongan rakyat terhadap BN semakin kukuh

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau semalam membuktikan sokongan rakyat terhadap BN semakin kukuh.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ia juga memberi petanda baik untuk BN kembali memperoleh majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Bagaimanapun, menurut beliau, ia tidak seharusnya menjadikan BN 'dibuai' kelekaan dan harus terus bekerja keras dalam memenangi hati rakyat.

''Kejayaan dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan rakyat sudah mampu membezakan perjuangan antara kerajaan dan pihak pembangkang. Kejayaan demi kejayaan kita sebelum ini juga memberi makna segala usaha kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin diterima rakyat.

''Jadikan kejayaan itu sebagai perangsang yang memberi makna BN perlu lebih bekerja keras," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Majlis Parlimen Ke-12 2011 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, 'suara-suara' pembangkang yang mengatakan BN hanya mampu menguasai kerusi di kawasan yang diklasifikasikan sebagai luar bandar hanyalah sebagai kenyataan yang angkuh.

/hwa: utusan.com.my | um - 8/3/11

Tiada ulasan: