KUALA LUMPUR 28 Feb. - Sebuah blog tempatan hari ini menyelar tindakan bekas Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, John R. Malott yang mempertahankan salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pelbagai perkara.
Blog berkenaan di alamat: bigdogdotcom.wordpress.com menerusi artikel 'Paul Wolfowitz, Al Gore, Anwar Ibrahim and the Strange Case of John R. Malott: Is He Lonely and Frustrated or Just Well Paid?' turut melontarkan persoalan mengapa Malott masih mempertahankan Anwar yang didakwa pernah dikaitkan dengan sebuah pertubuhan yang menyokong keganasan.
"Tidakkah Malott menyedari bahawa sebuah pergerakan Yahudi AS, B'nai B'rith pada tahun lalu meminta pentadbiran Barack Obama dan Kongres di AS memutuskan apa jua hubungan dengan Anwar kerana mereka berasa tersinggung dengan kenyataan Anwar yang menentang Yahudi?
"Dan, apakah Malott lupa bahawa Anwar adalah salah seorang pengasas International Institute of Islamic Thought (IIIT) di Virginia yang telah disiasat pihak berkuasa AS kerana didakwa bertindak sebagai pertubuhan yang menyokong keganasan?
"Namun, Malott berkata, dakwaan ini semua tidak munasabah kerana sebagai bekas Duta AS ke Malaysia, beliau telah menyemak laporan-laporan risikan dan mendapati Anwar tidak ada kaitan dengan mana-mana pertubuhan keganasan,'' jelas blog itu.
Blog berkenaan menambah, Malott juga telah membantah untuk digambarkan sebagai orang kesayangan Anwar namun beliau tidak mengesahkan secara jelas hubungan sebenarnya dengan pemimpin pembangkang itu.
"Adakah sebagai kawan, peminat, penyokong atau perunding berbayar dan pelobi atau juga rakan yang mempunyai dendam terhadap Malaysia? Oleh itu, beliau menyokong Anwar kerana Anwar suka menyerang negaranya sendiri terutama ketika berada di Singapura atau Washington.
"Apakah Anwar juga berunding dengan Malott untuk sebarang nasihat atau sebaliknya?
"Malott kemudiannya dengan angkuh menamakan bekas Setiausaha Pertahanan AS, William Cohen; bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan, Paul Wolfowitz dan bekas Naib Presiden, Al Gore sebagai mereka yang akan menyokongnya di mahkamah jika mahu menyaman beberapa akhbar tempatan kerana memfitnahnya,'' jelasnya.
Antara akhbar yang dimaksudkan adalah Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST).
Blog tersebut berkata, Wolfowitz dan Al Gore diketahui umum merupakan rakan karib Anwar.
Malott sebelum ini menerusi artikel bertajuk 'Harga Bagi Perkauman di Malaysia' antara lain meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 'mencermin diri' terlebih dahulu sekiranya serius mahu memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai.
Malott juga menyatakan kononnya masalah perkauman di negara ini semakin buruk sejak Najib menerajui kerajaan pada 2009 selain mendakwa ia lebih buruk berbanding tragedi 13 Mei 1969.
Beliau juga mengkritik ekonomi Malaysia yang dikatakan kurang menggalakkan terutama dalam tempoh 10 tahun lalu.
Perkara terbabit dibongkar oleh seorang penulis laman web berhaluan kanan AS, Rachel Motte. Pembongkaran tersebut kemudiannya menjadi topik hangat yang disiarkan menerusi Utusan Malaysia, NST serta beberapa akhbar lain.
Ia membuatkan Malott bengang dan mengecam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan.
/hwa: utusan.com.my | um - 1/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan