5 Mac 2011

Pakatan perlu segera daftar – SPR

JASIN 4 Mac – Parti-parti pembangkang digesa mengusahakan dengan serius rancangan untuk membentuk gabungan rasmi seperti Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan masalah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis pada setiap kali pilihan raya kecil.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, beliau tidak pasti apakah kekangan yang dihadapi oleh pakatan pembangkang itu tetapi pada pertemuan dengan suruhanjaya itu mereka memaklumkan ‘ada syarat-syarat yang belum dipenuhi’.

Justeru, beliau meminta kepimpinan parti-parti pembangkang terus berurusan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menyegerakan pembentukan gabungan berdaftar tersebut.

“Pada setiap kali kempen pilihan raya kecil termasuk di Merlimau dan Kerdau ketika ini, masalah yang sama berulang iaitu parti-parti sekutu memasang poster dan sepanduk masing-masing sedangkan yang bertanding adalah salah sebuah parti pembangkang.

“Ini baru peringkat pilihan raya kecil tetapi cuba bayangkan masalah yang sama berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“SPR bukan hendak mengajar, SPR akui itu hak mereka tapi akibatnya kepada kita dan polis kerana akhirnya keadaan inilah punca kekecohan dan kekacauan. Apabila kita turunkan sepanduk, bendera dan poster parti-parti berkenaan, ia mencetuskan provokasi seterusnya kekacauan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pilihan raya kecil lepas termasuk Pilihan Raya Umum, Pas, PKR dan DAP tidak dibenarkan menaikkan bendera dan sepanduk bagi tujuan kempen kerana tidak berdaftar sebagai satu gabungan di peringkat nasional.

ROS dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan, pakatan pembangkang boleh mendaftar sebagai sebuah parti gabungan kerana syarat tujuh anggota yang digariskan tidak terpakai bagi parti politik.

Syarat itu hanya terpakai untuk pertubuhan tidak berstatus kebangsaan yang ingin menjadi pertubuhan kebangsaan sedangkan parti politik sudah berstatus nasional.

Kali terakhir pembangkang membuat kenyataan berhubung gabungan secara rasmi itu adalah pada tahun lepas oleh sekretariat yang ditubuhkan khusus untuk merangka dan meneliti soal penggabungan.

Ketika itu salah seorang anggota sekretariat memaklumkan bahawa pakatan itu sedang dalam tahap akhir merangka draf mengenai penggabungannya sebagai sebuah parti di peringkat nasional.

/hwa: utusan.com.my | um - 5/3/11

Tiada ulasan: