31 Mac 2011

Pembangkang bakal tempuhi laluan sukar

KUALA LUMPUR 30 Mac - Nafsu besar pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR ) dan DAP untuk menawan Sarawak dalam pilihan raya negeri itu hanyalah imaginasi kosong yang tidak akan menjadi kenyataan.

Naib Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Jelaing Mersat (gambar) berkata, ia kerana pendekatan yang dibawa kedua-dua parti itu tidak disenangi oleh kebanyakan rakyat di negeri itu.

"Masalah sosio budaya di sana tidak sama dengan di Semenanjung apatah lagi dengan budaya politik ala "makhluk asing" yang cuba diperkenalkan oleh PKR.

"Jadi, saya berpendapat, cita-cita besar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama konco-konconya itu tidak akan berjaya malahan mereka akan merintis jalan mencabar di sana," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Keselamatan Jalan Raya Sekolah-Sekolah Peringkat Wilayah Persekutuan di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, berdasarkan senario terkini yang melanda pembangkang, ia jelas mencerminkan bahawa mereka tidak bersedia untuk mengambil alih negeri itu melalui saluran demokrasi.

"Macam mana hendak tadbir Sarawak, kalau bab agih kerusi pun tak selesai lagi.

"Bagi DAP pula, mungkin mereka akan berjaya menang beberapa kerusi dalam kawasan bandar tetapi mereka tidak ada keupayaan seperti Barisan Nasional (BN) untuk meluaskan pengaruh ke seluruh negeri," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 31/3/11

Tiada ulasan: